Wednesday, November 11, 2009

Pencarian supermodel Amber bermula


AMBER (kiri) dan Daphne Iking selaku pengacara rancangan itu ketika ditemui di sidang media memperkenalkan rancangan Ford Models' Supermodel Of The World Malaysia 2009 di sini baru-baru ini.


SETELAH pelbagai 'drama' yang tidak dijangka berlaku, akhirnya rancangan Ford Models' Supermodel Of The World Malaysia 2009 diteruskan seperti yang dirancang.

Rancangan realiti di dalam internet yang mencari model itu kini hadir dengan barisan krew yang baru serta konsep yang sedikit berbeza daripada asal.

Rancangan yang bertujuan mencari Malaysian Ford Supermodel yang pertama untuk bertanding di Ford Models' Supermodel of the World Competition di Brazil tahun depan akan bersiaran secara online di www.fordsupermodel.tv mulai 16 November ini.

Episod final pula akan disiarkan di saluran Star World (saluran Astro 771) pada pertengahan Disember ini.

Di sebalik kontroversi berebut hak kontrak dan isu memiliki francais rancangan itu baru-baru ini, model terkenal, Amber Chia, selaku penerbit berkata, rancangan ini tetap akan diteruskan.

"Saya belajar banyak perkara atas apa yang berlaku kepada saya baru-baru ini dan membuatkan saya lebih tabah.

"Saya gembira dengan hasil dari perjuangan saya dan berharap ia bakal menjadi satu rancangan yang menarik untuk tatapan umum.

"Penonton bakal menyaksikan kesungguhan peserta yang berbakat untuk merebut peluang menjadi supermodel yang dikenali di mata dunia melalui rancangan ini," ujarnya ketika ditemui di sidang media memperkenalkan rancangan Ford Models' Supermodel Of The World Malaysia 2009 di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Amber mengalami masalah untuk meneruskan penerbitan program tersebut apabila rakan kongsinya, Yap Wen-Ji dari Triple-Apex Holdings didakwa gagal menyerahkan salinan francais daripada agensi model dari Amerika Syarikat itu selain tidak dapat dihubungi.

Yap Wen-Ji pula telah memfailkan samannya terhadap Amber Chia, berjumlah RM15 juta dan sebuah syarikat akhbar berbahasa Cina yang didakwa menerbitkan artikel berbau fitnah terhadapnya.

Amber kemudian berjaya memperoleh bukti yang dia mempunyai surat kebenaran dan kontrak yang sah untuk francais rancangan itu daripada pemiliknya, Ford Models Inc. dari Amerika Syarikat (AS).

Setiap episod rancangan realiti ini, Amber akan dibantu oleh dua orang juri iaitu perintis kepada industri fesyen tanah air, Gillian Hung dan jurufoto terkenal, Azrul Kevin Abdullah. Rancangan ini akan dihoskan oleh Daphne Iking.

pelbagai aktiviti

"Setiap episod, peserta akan menjalani pelbagai aktiviti seperti lawatan ke rumah kebajikan dan lain-lain.

"Mereka juga akan menjalani pelbagai cabaran untuk memenangi hadiah dan semestinya ada sesi fotografi bagi proses penyingkiran," ujarnya.

Tambahnya, para peserta dinilai sepenuhnya oleh juri-juri yang dilantik dan tidak melibatkan sebarang undian SMS untuk mengelakkan ketidakadilan kepada mereka.

Sesi uji bakat telah dijalankan dan berakhir 8 November lalu. Menurut Amber, dia dan juri-juri kini dalam proses memilih peserta yang layak untuk ke peringkat seterusnya.

Jumlah keseluruhan hadiah yang bakal dimenangi tiga orang pemenang wanita dan tiga orang pemenang lelaki melebihi RM250,000.

Untuk kategori model wanita, hadiah utama termasuk peluang mewakili negara pada pertandingan akhir program itu di Brazil pada 16 Januari 2010 dan ketiga-tiga mereka juga akan menerima kontrak dengan pihak Ford Models.

Menurut Amber, walaupun hanya pemenang wanita yang dapat peluang bertanding di peringkat dunia, namun peluang dan platform yang disediakan bagi peserta lelaki itu amat berharga.

"Para peserta boleh menggunakan peluang yang ada untuk mengembangkan bakat dan lebih dikenali oleh orang yang berkait dengan industri fesyen.

"Ia sebenarnya hadiah yang lebih bernilai berbanding hadiah-hadiah lain bagi seseorang yang ingin menjejakkan diri dalam dunia peragaan," tambahnya.

Rancangan ini turut ditaja oleh Canon, Lot 10 Shopping Centre, Triumph, Elianto, Centro, Cardin, Manna Sciences dan Three DMS.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: