|
|
LAGU-lagu seperti Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada sememangnya telah melonjakkan populariti kumpulan Hujan. Harus diakui, ledakan muzik yang dibawakan oleh mereka telah mengubah senario dan iklim muzik tempatan secara total.
Jalur muzik yang dahulunya dinikmati oleh mereka yang mengikuti perkembangan kumpulan ini secara senyap, namun kini semuanya berubah.
Muzik mereka kini semakin mendapat tempat dan merebak umpama virus.
Kehadiran Hujan dan kumpulan indie yang lain telah membawa satu perubahan yang sedikit sebanyak merancakkan kembali industri seni yang semakin suram.
Tidak mahu peminat menunggu lama untuk terus menikmati muzik mereka, Hujan muncul dengan buah tangan terbaru mereka yang diberi judul Mencari Konklusi.
Mempertaruhkan judul yang sama sebagai single pertama dari album tersebut, lagu tersebut juga meraih perhatian ramai sekali gus mengukuhkan kedudukan Hujan sebagai kumpulan indie yang diminati.
Sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album kedua mereka di Hard Rock Cafe, baru-baru ini, Hujan yang dianggotai oleh Noh selaku vokalis, AG (gitar utama), Am (drum) dan Dimas (keyboard) menyifatkan album Mencari Konklusi sebagai merujuk kepada diri ahli kumpulan itu sendiri.
Masakan tidak, sebaik sahaja muncul di persada muzik arus perdana Hujan telah dihujani dengan pelbagai kisah panas yang membabitkan perwatakan dan disiplin mereka.
Sombong dan berlagak antara dua label negatif yang sering diberikan kepada kumpulan yang mula ditubuhkan pada tahun 2005 ini.
Kata Noh, apa yang berlaku kepada mereka adalah kejutan budaya kerana sebelum ini mereka tidak pernah mengalami situasi seperti mana hari ini.
"Album ini mengambil judul Mencari Konklusi adalah kerana kami mahu mencari dan menilai kelemahan serta kesilapan yang telah kami lakukan sebelum ini.
"Mencari Konklusi juga adalah terjemahan apa yang kami lalui sepanjang menjadi artis dan juga untuk memperbaiki apa sahaja perkara yang telah kami lakukan.
"Kami tidak mahu lagi dilabelkan dengan panggilan yang mampu meranapkan karier seni yang telah dibina ini," kata Noh mewakili teman-temannya yang lain.
Mencari Konklusi yang mula berada di pasaran sejak 18 Ogos mendapat sambutan yang cukup menggalakkan apabila terjual sebanyak 2,000 salinan dalam tempoh sebulan sahaja.
Ternyata berita itu cukup menggembirakan Hujan dan memberi motivasi kepada mereka untuk meneruskan perjuangan mereka dalam bidang seni.
Menyambung bicara, Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh menjelaskan, biarpun muzik dalam album Mencari Konklusi sedikit agresif, matang serta berbeza dengan album pertama mereka tetapi peminat tetap menerima perubahan tersebut.
Dalam masa yang sama, mereka juga mahu mencari peminat baru yang sebelum ini mungkin tidak biasa mahupun kurang menggemari muzik yang dibawakan oleh Hujan.
"Perubahan yang kami lakukan tidaklah radikal cuma ia adalah sentuhan yang sedikit berlainan daripada apa yang kami tampilkan sebelum ini.
"Biarpun begitu, identiti muzik Hujan masih lagi kekal dan apa yang kami mahukan adalah muzik kami dinikmati dengan enak oleh pendengar serta peminat setia kami," ujar jejaka kelahiran Miri, Sarawak ini panjang lebar.
Selain lagu Mencari Konklusi, album ini turut memuatkan enam buah lagu lain iaitu 2nd Airwave, Obsesi, Kau Harus Ada, Benci, Romantik dan Sangkar Besi Di Hatiku.
Bukan sekadar memberi hiburan semata-mata, tetapi Hujan juga tidak melupakan tanggungjawab sosial dengan memberikan mesej yang positif menerusi karya-karya mereka.
"Lagu-lagu kami sarat dengan mesej yang mahu pendengar untuk menjadi diri mereka yang sebenar serta berkeyakinan diri. Itu memang misi kami dalam menghasilkan muzik," jelas Noh yang juga penerbit album Mencari Konklusi.
Untuk memantapkan lagi produk ini, Hujan telah bekerjasama dengan syarikat rakaman, Metadome Sdn. Bhd., yang bertindak sebagai jentera promosi serta penyelia kandungan digital bagi album kedua Hujan ini.
Namun itu bukan bermakna mereka kini terikat dengan syarikat tersebut. Jelas Noh, kumpulannya masih lagi bergerak bebas seperti mana sebelum ini.
"Cuma kami memilih Metadome kerana percaya dengan kredibiliti dan kemampuan mereka untuk meluaskan pengaruh muzik kami kepada masyarakat," jelasnya lagi.
Tetapi kata Noh, untuk mengharapkan kepada satu pihak sahaja dalam mempromosikan album mereka tidak cukup.
Kerana itu, mereka sendiri turun padang untuk bertemu dengan peminat menerusi konsert mini jelajah mereka yang diberi nama Konsert Mencari Konklusi Hujan.
Bermula sejak 7 Oktober lalu, konsert jelajah mereka itu tujuannya tiada lain untuk membalas sokongan peminat yang banyak membantu perkembangan Hujan selama ini.
Lima bandar yang sudah dijelajahi ialah Kangar, Sungai Petani, Taiping, Ipoh serta Pulau Pinang dan kemuncaknya akan diadakan pada 22 November ini di KL Live, Life Centre, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Saat ditanya tentang penerimaan peminat sepanjang penjelajahan mereka itu, Noh dengan penuh jujur mengakui sambutannya tidaklah begitu hebat sehingga mencecah ribuan orang.
Biarpun sekadar dalam 150 orang yang hadir, itu sudah cukup menggembirakan hati Noh dan rakan-rakan Hujan yang lain.
"Kami teruja untuk membuat persembahan di hadapan mereka dan begitu juga dengan mereka apabila dapat beramah mesra dengan kami.
"Mereka yang datang kenal muzik kami dan juga peminat Hujan yang baru. Yang penting, adalah pengalaman membuat persembahan itu dan melihat wajah gembira mereka.
"Muzik yang kami bawakan untuk konsert jelajah ini juga tidak sama seperti di dalam album dan perubahan itu dilakukan adalah untuk memberikan kepuasan kepada peminat," ujar pengagum kumpulan Butterfingers, OAG dan Rancid ini lagi.
Bukan sekadar di Malaysia, malah Hujan juga berjaya meluaskan pengaruh muzik mereka ke Indonesia dan Singapura.
Apa yang membanggakan, persembahan mereka di Singapura pada 7 Oktober lalu mendapat sambutan yang sungguh di luar dugaan.
"Kami terkejut kerana tidak menyangka peminat di sana begitu positif dan berdisiplin sewaktu menikmati lagu-lagu dendangan kami.
"Begitu juga sewaktu persembahan di Indonesia yang telah membuka mata kami bahawa rupa-rupanya muzik kami diterima dengan baik oleh peminat di sana.
"Walaupun pada mulanya agak ragu tetapi keyakinan yang diberikan oleh pengurus kumpulan The Changcuters membuatkan kami semangat untuk beraksi dan respons yang diberikan sungguh mengejutkan," jelasnya yang rapat dengan Faizal Tahir dan Aizat.
Kejayaan itu juga telah mendorong beberapa pihak untuk membawa Hujan ke United Kingdom dan Amerika Syarikat bagi mengadakan persembahan tahun depan.
Dalam perkembangan lain, Hujan juga akan terlibat sebagai pelakon undangan dalam drama bersiri SpaQistina yang akan ditayangkan di Astro tidak lama lagi.
Jelas Noh, mengikut perancangan awal sepatutnya hanya dia sahaja yang berlakon dalam drama tersebut apabila ditawarkan watak Aril.
"Saya kurang yakin dengan diri saya kerana tahu saya tidak pandai berlakon dan sedar bakat yang diberikan kepada saya hanyalah untuk bidang muzik (ketawa).
"Kerana itu, saya fikir adalah wajar untuk sekadar muncul dalam dua episod sahaja sebagai pelakon undangan bersama ahli kumpulan Hujan yang lain," katanya sambil ketawa.
Bukan itu sahaja, Noh juga melahirkan rasa terkejutnya apabila lagu Aku Scandal tersenarai antara 30 buah lagu yang berjaya ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 24.
Aku Scandal sudah pun dipersembahkan pada pusingan pertama separuh akhir pada malam Jumaat lalu dan keputusan hanya akan diumumkan pada minggu ketiga iaitu pada 21 November ini.
Saat ditanya tentang harapan lagu tersebut untuk mara ke peringkat Anugerah Juara Lagu Ke-24 pada 10 Januari depan, dengan penuh rendah diri Noh menyatakan saingan yang cukup sengit agak sukar untuk Aku Scandal menempatkan diri ke anugerah berprestij itu.
"Semua lagu yang bertanding adalah bagus dan kuat dan saya melihat Aku Scandal memiliki peluang yang cukup tipis.
"Kalau rezeki berpihak kepada kami, Alhamdulillah kerana untuk ke peringkat separuh akhir sahaja sudah memadai buat kami.
"Kami mahu menonjolkan bahawa Aku Scandal sebenarnya memiliki keistimewaan dan sentuhannya yang tersendiri selain lagu Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada," jelas Noh yang pernah menerima anugerah Album Rock Terbaik dan Lagu Rock Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-16 pada Mei lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: