|
|
SEBAGAI penyanyi, tiada apa yang lebih menggembirakan buat Ernie Zakri selepas dia diumumkan sebagai juara pertandingan nyanyian Bintang RTM 2009 pada Jun lalu.
Kegembiraan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Perempuan Methodist, Kuala Lumpur ini semakin melonjak apabila dia menerima tawaran merakamkan album sulungnya menerusi syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC).
Walau bagaimanapun, pada masa sama Ernie kini sedang 'bergelut' dengan persiapannya bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan ditempuhinya mulai 18 November ini.
Justeru, penyanyi berusia 17 tahun itu kini bolehlah diibaratkan sebagai 'lipas kudung' dalam usahanya untuk menyiapkan rakaman albumnya yang dirakamkan di beberapa buah studio termasuklah Wake The Baby milik komposer Ajai.
"Tuhan sahaja yang tahu betapa sibuknya saya sekarang ini. Siang saya ke sekolah, petang ambil kelas tambahan, manakala sebelah malam pula berkurung di studio rakaman sampai awal pagi gara-gara rakaman album tersebut.
"Biarpun sudah lima bulan bergelar juara Bintang RTM 2009, tetapi baru kini peluang untuk merakamkan album itu datang kepada saya. Jadi, saya anggap ini adalah peluang keemasan yang sukar untuk ditolak oleh penyanyi baru seperti saya.
"Cuma tekanan dan cabarannya di sini ialah, pada masa sama saya harus juga membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan SPM yang akan saya tempuhi mulai 18 November ini hingga 9 Disember ini," katanya sewaktu ditemui Hits di studio Wake The Baby di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur (KL), baru-baru ini.
Jelas Ernie, dia tiada pilihan selain menerima tawaran itu memandangkan sentiasa sibuk dengan undangan mengadakan persembahan pentas di merata-rata tempat selain menyesuaikan masa dengan ramai komposer yang terbabit dalam pembikinan album itu.
Justeru, bagi mengelakkan daripada ketinggalan pelajaran, gadis kecil molek ini terpaksa menggandakan masa belajarnya selain dibantu oleh ibunya, Rafiaah Mohd, 43, dalam menyusun jadual aktivitinya seharian.
"Sekarang ini saya harus pandai membahagi-bahagikan masa antara belajar, merakamkan album ataupun menerima undangan mengadakan persembahan pentas. Kalau tidak nanti kata orang akan melepas kesemuanya sekali.
"Sebagai contohnya, saya harus menambah waktu belajar saya terutamanya pada matapelajaran yang lemah seperti matematik, sains dan sejarah. Sementara dalam bidang nyanyian pula, saya terpaksa selalu berlatih menyanyi di rumah.
"Ia sebagai persediaan sebelum saya masuk studio untuk merakamkan album pertama saya itu. Mujurlah ibu bapa saya menyediakan kemudahan menyanyi di rumah dan jiran kami pula setakat ini tidak mengadu kerana bunyi bising dan sebagainya," katanya yang kini menetap di Apartmen Putra Ria, Bangsar, KL.
Sebagai penyanyi yang masih bergelar pelajar, Ernie menyifatkan rakaman album yang sedang dilakukannya itu amat mencabar kerana ia turut akan menentukan pencapaian akademik dan masa depannya kelak.
Ini kerana, kata anak jati KL ini, bidang nyanyian dan pelajaran seakan-akan tidak boleh dipisahkan dalam dirinya di mana dia ingin membuktikan bahawa dua bidang itu mampu dicapainya pada masa yang sama.
Tidak mengabaikan pelajaran
"Sebenarnya, saya menjadi penyanyi sejak berusia lima tahun lagi iaitu dengan menyertai Pertandingan Bintang Kecil. Meskipun selalu dijemput menyanyi di merata-rata tempat tetapi setakat ini saya belum pernah mengabaikan pelajaran.
"Biarpun mahu menjadi penyanyi sepenuh masa pada masa depan, tetapi saya bercita-cita mahu melanjutkan pengajian dalam bidang vokal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai persediaan untuk menceburi bidang itu," ujarnya yang mendapat 3A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang lalu.
Beliau yang sebelum itu pernah merakamkan suaranya untuk lagu latar filem berjudul Akhirat arahan Syed Mohamed Hassan Benyahya turut teruja untuk menyudahkan segera rakaman album pertamanya itu.
Ramai komposer terkenal seperti Ajai antara yang telah menyumbangkan lagu bagi dimuatkan dalam album yang dijangka berada di pasaran pada tahun depan itu.
"Sebagai penyanyi baru, saya berasa berbesar hati apabila abang Ajai sudi menyumbangkan lagu gubahannya dalam album saya itu. Setakat ini antara lagu yang telah dirakamkan berjudul Bicarakan Cinta.
"Selain abang Ajai, komposer seperti Alfa Booty juga akan memberikan lagu ciptaannya untuk saya nyanyikan dalam album berkonsepkan irama pop balada," ceritanya yang turut ditemani bapanya, Zakri Ahmad, 48, pada pertemuan tersebut.
Ernie yang mengikat kontrak selama 5 tahun dengan FMC yakin syarikat rakaman tempatan itu mampu mengangkat namanya dalam bidang suara tempatan selepas menghalusi tawaran daripada syarikat-syarikat rakaman lain.
Tambahnya, selama lebih 20 tahun beroperasi, FMC begitu komited dalam mempromosikan ramai artis-artis yang pernah dan sedang bernaung di bawah syarikat rakaman tersebut.
"Saya sebenarnya pada masa sama turut menerima tawaran merakamkan album daripada syarikat-syarikat rakaman lain tetapi saya tolak. Saya lebih percaya kepada syarikat rakaman tempatan berbanding antarabangsa.
"Sebabnya, saya dapati FMC amat mengambil berat artis-artis yang berada di bawah naungan mereka. Pada masa sama mereka amat menitikberatkan kualiti dan keunikan vokal tersendiri para penyanyi yang berada di bawah naungan mereka," jelasnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: