AMPANG: Cemburu buta kerana mengesyaki teman wanita keluar dengan lelaki lain ke disko, seorang lelaki sanggup bertindak ganas menjadikan kekasihnya sebagai tebusan selain melepaskan tiga das tembakan bagi meluahkan rasa amarahnya, semalam.
Lelaki terbabit yang menyambut hari jadi ke-23 semalam menyerang kekasihnya berusia 35 tahun kerana tidak dapat menerima hakikat wanita itu bermain kayu tiga.
Kejadian tebusan lebih 30 minit itu berakhir apabila lelaki terbabit yang pernah bekerja sebagai pengawal peribadi orang kenamaan (VIP) menyerah diri selepas diberi kata dua polis yang mengepung tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata dalam kejadian jam 12.24 tengah hari itu, suspek pergi ke salun kecantikan dan dandanan rambut milik teman wanitanya di Ampang Water Front, di sini.
“Mungkin kerana tidak dapat menahan marah, suspek mengeluarkan sepucuk pistol sebelum melepaskan tiga das tembakan rambang yang mengenai dinding dan siling dalam salun berkenaan.
“Bunyi tembakan itu menyebabkan orang ramai yang berada berhampiran premis berkenaan terkejut sebelum memaklumkan kepada polis Ampang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, bergegas ke situ sebelum mendapati wanita terbabit dijadikan tebusan suspek yang enggan menyerah diri.
“Susulan itu, polis diketuai Asisten Superintendan Kamal Khan Mohd Shariff cuba berunding dan menggunakan kaedah diplomasi untuk memujuk suspek menyerah diri sebelum lelaki itu akhirnya akur dan meletak senjata lima minit kemudian.
“Polis yang melakukan siasatan susulan merampas pistol milik suspek selain tiga peluru hidup yang cuba disembunyikan dalam cerek elektrik di salun berkenaan sejurus kejadian,” katanya.
Menurutnya, polis masih menyiasat dari mana suspek memperoleh pistol model Walter automatik berkenaan dan memastikan sama ada dia mempunyai lesen untuk menyimpan dan menggunakan senjata api.
Amiruddin berkata, suspek yang menjalin hubungan dengan mangsa sejak beberapa bulan lalu dipercayai bergaduh akibat cemburu sebelum berlanjutan kepada tindakan melepaskan tembakan liar.
“Apa yang paling penting dalam peristiwa ini kejayaan polis menyelesaikan kes jenayah tebusan berkenaan tanpa pertumpahan darah atau menyebabkan kecederaan kepada mangsa, suspek atau polis.
“Mangsa tidak cedera walaupun dijadikan tebusan lebih 30 minit,” katanya.
Sementara itu, sepasukan anggota Forensik Selangor tiba di salun itu kira-kira jam 3 petang untuk menyiasat dan menganalisis kesan tembakan.
Sementara itu, mangsa yang berambut perang dibawa turun anggota polis sejurus diselamatkan sebelum dibawa ke IPD Ampang Jaya dengan menaiki sebuah kereta mewah.
Pada masa sama, suspek yang bertubuh tinggi dan bergari dibawa turun dari tingkat satu premis dalam keadaan kepalanya ditutup dengan tuala biru bagi mengelak wajahnya dirakam media.
Seorang lelaki yang enggan namanya didedahkan berkata, kereta mewah terbabit miliknya yang dipinjamkan kepada wanita berkenaan beberapa hari lalu sebelum ia dipandu suspek.
“Saya pernah lihat lelaki berkenaan beberapa kali, namun kami tak bertegur sapa berikutan perwatakannya yang tidak mesra. Saya hanya dimaklumkan kejadian ini tengah hari tadi dan tujuan saya hanya ingin mengambil semula kunci kereta saya yang bernilai lebih RM300,000,’ katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: