Saturday, November 14, 2009

Perlahan-lahan paksa jual maruah


KUALA LUMPUR: Tawaran gaji lumayan dijadikan umpan beberapa pusat urut tradisional untuk memaksa secara halus gadis Melayu memberi khidmat urutan batin kepada lelaki ‘hidung belang.’

Kebiasaannya, pusat urut terbabit mengiklankan jawatan kosong sebagai juruterapi di akhbar dan gadis yang berminat diberi pelbagai janji sebelum secara perlahan-lahan memaksa mereka menggadai maruah dengan memberi khidmat urut tidak bermoral kepada pelanggan termasuk warga asing.

Taktik itu didedahkan seorang bekas tukang urut di sebuah pusat urut tradisional di Kajang yang mendakwa majikan sengaja memberi gaji tidak mencukupi sekitar RM1,800 yang dibayar dua kali sebulan selain meletakkan syarat wang itu akan dipotong RM150 jika kedatangan ke tempat kerja kurang 24 hari.

Dia yang hanya mahu dikenali As, 20, mendakwa mulanya menyangka juruterapi tidak lebih daripada memberi khidmat urutan muka untuk kecantikan. Bagaimanapun, sebelum mula bekerja, dia dipengaruhi secara halus untuk memberi khidmat urut batin.

“Selepas ditemubual pengurus pusat urut itu Ogos tahun lalu, dia menghubungi saya hampir setiap hari selama sebulan walaupun sekadar bertanya khabar untuk menunjukkan dia mengambil berat menyebabkan saya bersetuju menerima tawaran bekerja di situ.

“Saya bersama beberapa lagi gadis dibawa ke sebuah tempat untuk menjalani kursus urutan tradisional empat hari sebelum dipengaruhi tukang urut senior supaya mempelajari cara urut batin yang menawarkan komisen tinggi.


“Kami yang terpengaruh hanya belajar 30 minit dengan menjadikan seorang lelaki sebagai model sebelum terus dibenarkan mengurut pelanggan. Pada hari pertama, saya menangis setiap kali perlu melayani kehendak pelanggan yang mahukan urut batin,” katanya yang ditemui, semalam.

Menurutnya, untuk pakej urut badan sebelum diikuti batin, pelanggan perlu membayar RM169 sejam.

“Penyelia pusat urut itu memberitahu pelanggan bahawa urut tambahan itu menggunakan minyak lintah, sebaliknya ia minyak campuran.

“Pekerja yang cuba mengelakkan melakukan urut batin biasanya menghadapi masalah gaji tidak cukup menyebabkan mahu tidak mahu kami terpaksa memuaskan kehendak pelanggan kerana hasil komisen termasuk tip boleh mencecah sehingga RM3,000 sebulan.

“Tetapi mungkin disebabkan tidak berkat, wang itu habis begitu saja, malah setiap kali saya membeli barangan kemas, sebulan kemudian ia terpaksa digadai,” katanya.

As berkata, dia hanya mampu bertahan dengan kerja itu empat bulan namun dalam tempoh itu terpaksa melayan pelanggan semuda 15 tahun hingga berusia 60 tahun yang menggeletar badan tetapi masih bernafsu.

“Walaupun saya terpaksa menyentuh mereka, saya tak pernah membenarkan pelanggan melakukan perbuatan melampau. Bagaimanapun, penyelia langsung tak pernah ambil peduli keselamatan kami. Jika pelanggan gatal dan cuba bertindak keterlaluan, kami hanya mengharapkan rakan di bilik sebelah untuk membantu,” katanya.

Menurutnya, pusat urut itu juga mempunyai cara tersendiri untuk mengelak tindakan setiap kali pihak berkuasa melakukan serbuan, iaitu dengan menyalakan lampu menyebabkan bilik jadi terang-benderang dan pelanggan segera memakai pakaian.

As berkata, majikannya juga bijak menarik pelanggan. Jika kawasan itu ramai penduduk Melayu, biasanya pekerja juga gadis Melayu terutama dari Sabah, malah jika gadis terbabit kurang cantik, pengusaha sanggup mengeluarkan wang untuk menyolek dengan membawanya ke salun.

Dia yang kini sudah berkahwin terpaksa berhenti kerana tidak tahan dengan kerja itu selain gaji yang lewat dibayar kerana tidak datang ke tempat kerja walaupun mempunyai alasan.

“Kadang-kadang saya sakit dan mempunyai surat daripada klinik atau ada saudara meninggal dunia namun ia tidak dilayan penyelia atau pemilik pusat urut itu. Disebabkan tidak tahan diperlakukan sebegitu, saya nekad berhenti kerja Januari lalu walaupun menerima pelbagai ugutan.

“Saya bersyukur sekarang kerana mempunyai suami yang memahami selepas saya menceritakan apa yang saya lakukan sebelum ini selain sudah mempunyai pekerjaan di pejabat kerajaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: