Saturday, November 14, 2009

Lebih 140,000 Pelatih Disenarai Untuk PLKN


PEKAN Seramai 146,000 pelatih di seluruh negara akan mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi kumpulan satu siri 7/2010 bermula 2 Jan tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata notis panggilan pelatih bagi kumpulan itu akan diedar pada 23 Nov ini.

"Sesiapa yang tidak menerima notis itu, maka mereka tidak terlibat dalam kumpulan satu, sebaliknya mungkin disenaraikan dalam kumpulan berikutnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi ceramah dan tayangan video mengenai PLKN di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Abdullah di sini, Jumaat.

Abdul Hadi berkata daripada jumlah keseluruhan pelatih itu, seramai 26,000 adalah pelatih yang pernah dipanggil untuk mengikuti PLKN sebelum ini tetapi diberi pelepasan atas sebab-sebab tertentu.

Beliau berkata JLKN akan mengekalkan empat modul yang digunakan pada siri keenam tahun ini tetapi tidak menolak kemungkinan ada penambahbaikan sepanjang program latihan pada tahun depan.

Beliau berkata pihaknya juga sedang menjalankan kajian mengenai keberkesanan modul yang diguna dalam latihan PLKN menerusi kajian soal selidik yang mensasarkan 60,000 responden.

"Kajian itu bermula 1 Nov lepas, melibatkan responden yang terdiri daripada komandan, jurulatih, bekas pelatih, ibu bapa atau penjaga kepada bekas pelatih, majikan bekas pelatih, pusat pengajian tinggi, pusat pendidikan kemahiran dan institusi berkaitan serta masyarakat umum," katanya.

Abdul Hadi berkata objektif pelaksanaan soal selidik itu ialah untuk mengenal pasti sejauh mana pelaksanaan PLKN itu memberi kesan positif kepada bekas pelatih dan masyarakat.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata pihaknya sedang mengadakan sesi ceramah dan tayangan video kepada kira-kira 30 sekolah di seluruh negara dengan dimulakan di SMK Tengku Abdullah, Pekan.

"Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tingkatan empat dan lima mengenai PLKN," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: