Mudah, ringkas dan kecil sekali gus memberikan keselamatan yang sepenuhnya tanpa perlu berasa bimbang apabila memandu atau meletakkan kenderaan di tempat yang sunyi.
PERASAAN anda sering kali dihujani dengan kerisauan apabila meninggalkan kenderaan di tempat letak kereta ataupun di mana sahaja lokasi yang anda tuju.
Kurang selesa dan fikiran asyik memikirkan keselamatan kenderaan membuatkan aktiviti anda pada hari tersebut mungkin tidak berjalan lancar seperti mana yang telah dirancang.
Bukan itu sahaja, mereka yang memandu atau pulang ke rumah lewat malam mungkin pernah mengalami perasaan takut dan sebagainya.
Apatah lagi, ramai juga antara kita yang dihantui kebimbangan untuk turun dari kereta apabila setiap kali ingin membuka pintu pagar rumah pada waktu malam.
Ini kerana kes kecurian kenderaan hanya mengambil masa beberapa saat sahaja dan lebih membimbangkan keselamatan pemilik kereta belum tentu terjamin jika berlaku kejadian yang tidak diingini itu. Selain itu, kejadian tersebut juga boleh berlaku apabila anda berada di dalam kereta.
Ia berlaku apabila penjenayah cuba menghalang atau melanggar kereta yang dipandu oleh anda.
Pengarah Urusan Masterdyne Electronics Sdn. Bhd., Benny Oh ketika bercakap mengenai isu sistem keselamatan kenderaan berkata, terdapat segelintir pemilik kenderaan yang mempunyai beberapa peralatan asas yang dipasang pada kenderaan mereka untuk mengelakkan ia dicuri.
"Biasanya, alat keselamatan pada bahagian stereng atau gear akan dipasang. Tetapi tahukah anda, peralatan tersebut masih tidak selamat. Malah, anda juga perlu mengambil sedikit masa untuk mengunci dan membukanya semula.
"Ini tentu menyusahkan pengguna terutama wanita memandangkan ada antara alat tersebut yang sukar untuk dibuka. Lagipun, ia hanya selamat untuk sementara waktu sahaja dan tidak ketika anda sedang memandu," katanya ketika ditemui Kosmo! di Saujana Indah, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Menurut Benny, ramai antara kita langsung tidak mengendahkan aspek keselamatan sewaktu sedang memandu. Sedangkan hari ini, kita sentiasa dikejutkan dengan berita mengenai pelbagai bentuk kes jenayah yang berlaku tanpa diduga.
Jadi, menurut Benny, apa salahnya pengguna mengeluarkan sedikit bajet untuk memasang sistem keselamatan di dalam kenderaan masing-masing.
Menurutnya, sistem keselamatan itu sesuai untuk semua jenis pemandu terutama pemandu perempuan yang sering pulang lewat malam ke rumah.
"Kejadian yang tidak diingini bukan hanya berlaku pada waktu malam. Malah, pada waktu siang pun, penjenayah rancak mengatur strategi.
"Mereka akan melakukan apa sahaja tindakan agresif, asalkan dapat melarikan kenderaan yang ingin dicuri," katanya.
Lebih dukacita apabila kebanyakan penjenayah masa kini bukan hanya mencuri kenderaan, malah mereka turut mencederakan pemilik sekiranya mereka tidak mengikut apa kehendak penjenayah.
"Perkara seperti inilah yang kita tidak mahu. Mereka cuba mencederakan kita dan membawa lari kereta kita. Bukan sahaja pemilik yang berisiko dicederakan, malah penumpang juga terdedah kepada bahaya ini. Jadi, untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini itu berlaku, kita perlu sentiasa bersedia.
"Bersiap sedia itu bukan bermakna kita melawan tindakan penjenayah, tetapi pengguna perlu bijak menggunakan cara tersembunyi yang mana penjenayah tersebut tidak akan tahu," ulasnya.
Kenderaan automatik berhenti
Kecanggihan penciptaan sistem keselamatan kenderaan MaxForces meyakinkan para pengguna untuk pergi ke mana sahaja. Dengan hanya menekan satu butang, anda akan berasa lebih selesa untuk menjalankan tugas.
"Sistem ini beroperasi selama 24 jam dan pemilik yang mengawal sendiri kenderaan mereka," katanya.
Apa yang membezakan sistem itu berbanding dengan sistem keselamatan lain adalah pemasangan alatnya hanya anda sahaja yang tahu.
Biasanya apabila kenderaan anda dicuri, sistem penggera akan berbunyi kuat sehingga memberi kejutan kepada pencuri tersebut.
Apabila penjenayah terkejut, mereka akan melakukan apa sahaja tindakan di luar kawalan.
Bagaimanapun, dengan menggunakan MaxForces, penggunaan peralatan itu diibaratkan sebagai pembunuh 'senyap' kepada penjenayah yang licik.
"Sistem ini tidak akan berbunyi bising seperti mana yang kita lihat sebelum ini. Ia tidak mengeluarkan sebarang bunyi, dan pemilik kenderaan tidak perlu risau apabila diserang oleh penjenayah. Serahkan sahaja kunci kenderaan kepada mereka.
"Ini kerana sistem Computerized Remote Recovery (CRR), kenderaan anda secara automatik akan berhenti dalam lingkungan 300 meter atau 50 saat. Jarak tersebut sudah memberi gambaran di mana kenderaan anda akan berada," jelasnya.
Mungkin anda tertanya-tanya bagaimana pula sekiranya kereta tersebut dirompak ketika sedang dipandu?
Jawapannya mudah sahaja. Prosesnya seperti biasa iaitu kereta anda akan berhenti sendiri tidak jauh dari lokasi anda berada.
Tujuan penciptaan alat yang memaksa kereta berhenti sendiri itu adalah supaya pemilik kenderaan tidak perlu melawan penjenayah.
"Kita bagi kunci kepada mereka. Yang penting, diri kita selamat terlebih dahulu. Kemudian barulah, kita cepat-cepat minta bantuan dengan berlari ke kawasan yang jaraknya 300 meter dari tempat kejadian," kata Benny.
Penggunaan yang ringkas
Tidak memerlukan ruang luas untuk memasang peralatan itu, anda diberikan satu alat kawalan yang perlu disimpan bagi kegunaan peribadi. Cara untuk menggunakannya juga tidak terlalu susah.
Apa yang perlu anda lakukan setiap kali mahu meninggalkan kenderaan adalah menekan kunci LED yang dipasang di dalam kereta dan sejurus keluar dari kenderaan, anda mesti sekali lagi menekan kunci pada alat kawalan yang dibawa.
Ini bermakna, meskipun anda tidak menyedari bila kenderaan anda hilang, apa yang perlu anda periksa adalah kenderaan tersebut berada tidak jauh dari tempat anda berdiri iaitu 300 meter sahaja.
"Dalam situasi ini, pemilik tidak akan berasa cemas tetapi penjenayah itu akan kelam-kabut kerana kereta yang dipandu mereka tiba-tiba berhenti, seolah-olah mengalami masalah enjin atau minyak," ulasnya.
Beliau menegaskan, meskipun penjenayah tersebut menjumpai kunci LED yang telah disorok di dalam kenderaan anda, mereka tetap tidak boleh berbuat apa-apa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: