Tuesday, November 10, 2009

Misi B-23 sukar di Laos




SKUAD bola sepak bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Timor Leste untuk saingan Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos bermula awal bulan depan.

Kumpulan B pula hanya menampilkan empat pasukan iaitu naib juara 2007, Myanmar, Singapura, Indonesia dan tuan rumah, Laos.

Pada Sukan SEA 2007 di Korat, skuad bola sepak negara yang dibimbing B. Sathianathan gagal melangkah ke separuh akhir setelah hanya menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan B di bela- kang Vietnam dan Singapura.

Kali ini, skuad negara dibimbing pula oleh K. Rajagobal dan mereka perlu mengelak kekalahan ketika bertemu Thailand dan Vietnam bagi mencerahkan peluang layak ke separuh akhir.

Selain itu, pertemuan dengan Kemboja dan Timor Leste juga tidak boleh diambil mudah kerana jumlah jaringan besar diperlukan memandangkan perbezaan gol mungkin menjadi penentu.

"Kita telah diundi dalam kumpulan yang kuat. Jadi saya akan gunakan pendekatan fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan dan mempamerkan usaha keras dalam setiap perlawanan.

"Kita akan mengharungi empat perlawanan kumpulan dan mungkin faktor keletihan dan kecederaan bakal mempengaruhi situasi sewaktu pertandingan itu berlangsung nanti," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Palembang, Indonesia malam tadi.

Skuad kebangsaan yang dalam persiapan menghadapi Uzbekistan pada 14 dan 18 November ini untuk aksi kelayakan Piala Asia 2011 telah mencatat kemenangan 3-1 ke atas skuad B-23 Indonesia pada aksi persahabatan di Stadium Gelora Sriwijaya Jakabaring, Palembang petang semalam.

Tiga gol skuad kebangsaan dijaringkan Amri Yahyah (28), Bad- drol Bakhtiar (31) dan Safiq Rahim (34) manakala jaringan pasukan tuan rumah diperoleh menerusi sepakan penalti Sultan Sama pada minit ke-40.

"Sama seperti ketika kita menewaskan mereka 1-0 di Cheras (13 Jun lalu), Indonesia bermain agresif. Saya risau pemain akan cedera tetapi mujur ia tak berlaku.

"Saya tidak berpuas hati dengan prestasi pemain saya. Tetapi kemenangan ini mampu meningkatkan moral pemain menjelang aksi bertemu Uzbekistan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: