Monday, November 9, 2009

Minat fesyen dan solekan

Pasangan kembar Rina dan Rini mengakui mereka berkongsi banyak perkara bersama sejak dari kecil. Apakah yang mereka kongsikan?




PERNAH suatu petang, Rini mengayuh basikal ke kedai runcit berhampiran rumahnya. Dalam perjalanan itu, tiba-tiba dia dihalang oleh sekumpulan kanak-kanak lelaki yang nakal. Mereka menerjah dan mengacau Rini. Lantas dalam ketakutan, Rini berpatah balik ke rumah dan terus mengadu kepada Rina.

Belum sempat anak kedua daripada enam adik-beradik itu mengadu, Rina terus mengayuh basikal dan menuju ke padang bola. Terlihat sahaja kelibat kanak-kanak lelaki yang dimaksudkan oleh Rini, Rina terus menghampiri dan menumbuk muka salah seorang kanak-kanak dalam kumpulan tersebut.


RINI (depan) dan Rina jarang bergaduh dan mempunyai minat yang sama.


"Pada waktu itu, tak fikir takut atau dimarahi ibu dan ayah. Apa yang penting dapat kenakan orang yang menyakat kembar saya. Apabila memikirkan kembali situasi berkenaan, saya pun tak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk menumbuk (ketawa)," imbas Rina yang sanggup melakukan apa sahaja demi kakak kembarnya, Rini iaitu finalis Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7). Sewaktu insiden itu berlaku, mereka berdua baru sahaja mencecah usia lima tahun.

Itulah keistimewaan yang dimiliki oleh kembar seiras Zuzafrini Zulkifli (Rini) dan Zuzafrina Zulkifli (Rina) yang dilahirkan pada 11 Januari 1984 di Kuala Lumpur. Keakraban mereka bagai sukar dipisahkan. Walaupun masing-masing sibuk menguruskan karier nyanyian di bawah bumbung syarikat berbeza tetapi kedua-duanya akan bertemu semula di rumah.

Saling melengkapi

Sepanjang sesi fotografi berlangsung, Rina dan Rini saling melengkapi antara satu sama lain. Kemesraan yang dirakam oleh lensa kamera jurugambar, Wahidah Zainal, bukan lakonan mahupun paksaan. Sebaliknya, anak kedua dan anak ketiga daripada enam orang adik-beradik itu tanpa segan silu menunjukkan kasih sayang mereka yang tersimpul rapi.

Gelak ketawa dan usikan manja memeriahkan pertemuan kami pada petang itu. Malah, mulut Rina dan Rini juga petah berkata-kata tanpa henti. Ada sahaja cerita pahit dan manis yang dialami oleh mereka dikongsikan bersama. Jelas Rini yang memiliki ketinggian 164 sentimeter, dek kerana terlalu rapat dengan kembarnya, dia dapat menghidu sekiranya Rina mempunyai masalah.


FATHIRAH (kiri) menggemari fesyen feminin manakala Fathiah meminati gaya urban dan kasual.


Hanya menerusi gaya percakapan, bahasa tubuh dan riak muka, Rini sudah memahami adik kembarnya menyorokkan sesuatu daripada pengetahuannya.

"Sejak kecil sehingga dewasa, kami berkongsi bermacam-macam perkara. Bermula daripada topik persahabatan, makanan, pelajaran sehinggalah hobi, semuanya dikongsi bersama. Memandangkan kami juga memiliki saiz badan yang sama, maka pakaian saya adalah pakaian Rina dan pakaian dia juga adalah pakaian saya.

"Paling nyata, minat kami berdua lebih tertumpu pada bidang fesyen dan solekan. Kami pastikan sebelum keluar rumah, wajah perlu dirias rapi sama ada mengaplikasikan solekan nipis, tebal, garang atau ceria. Begitu juga dengan pakaian. Walaupun kami bertudung, saya dan Rina tidak pernah mengehadkan gaya berpakaian," luah Rini yang mengambil keputusan memakai tudung bersama Rina ketika menuntut di darjah enam.

Obses fesyen

Nampak gayanya, obses mereka berdua pada dunia fesyen tidak hanya dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Sebaliknya, pasangan kembar kelahiran Selangor itu mula meneroka bidang perniagaan pakaian secara talian dan membuka tapak berniaga di pasar lambak Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur sejak setahun lalu.

Memahami golongan wanita bertudung pada hari ini gemar bergaya funky dan kontemporari tetapi masih menutup aurat, maka kembar yang meminati rona hitam itu menawarkan pakaian yang berkonsepkan sedemikian.

"Koleksi pakaian kami banyak berteraskan warna-warni dan rekaan yang funky. Usah disebabkan bertudung, kita malu bergaya dan hanya memilih warna gelap. Tiada salahnya jika memadankan baju-T merah bersama gaun mini kuning.

"Begitu juga tudung. Kita perlu berani bereksperimen dengan pelbagai teknik lilitan supaya penampilan kita tidak kelihatan bosan," kata Rina yang merupakan artis Cherry Talent dan Management. Dia kini muncul bersama album single, Mana Satu.

Sementara itu, Rini yang tidak berpeluang mara ke peringkat akhir AF7, bidang nyanyiannya belum terhenti. Seperti kembarnya, Rini turut memiliki single yang bertajuk, Mainan Jiwa. Pada masa yang sama, Rini sudah menyertai keluarga radio Era dan bertugas pada setiap Sabtu dan Ahad untuk segmen Salam Era.


USIA remaja tidak menghalang pasangan kembar, Fathiah (kiri) dan Fathirah menceburi bidang perniagaan.


Kembar muda berniaga

Selain Rina dan Rini yang sibuk menguruskan perniagaan pakaian, satu lagi pasangan kembar yang berusia 18 tahun juga dipertanggungjawab mengendalikan butik kecantikan Giffarine di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Nur Fathiah Ruslan dan Nur Fathirah Ruslan yang dilahirkan di Besut, Terengganu, tidak melahirkan sebarang kebimbangan apabila dilantik menjadi Eksekutif Jualan dan Pemasaran Giffarine.

Menurut Fathirah, tiada apa yang perlu dibimbangkan untuk menguruskan perniagaan ini walaupun masih muda remaja. Ini kerana bidang perniagaan sudah sebati dalam dirinya sejak berusia 10 tahun lagi. Pada usia itu, Fathirah sudah berani menjual tudung dan kain ela kepada guru-guru di sekolah. Menginjak di tingkatan tiga pula, dia beralih pada penjualan minyak wangi.

"Secara azali, memang kami dilahirkan kembar tetapi perangai dan minat kami berbeza. Adik saya memang gemar dan mahir berniaga, saya pula sebaliknya. Baru kini, saya mula menunjukkan minat ke arah itu. Sebelum ini, kehidupan harian saya banyak diisi dengan aktiviti-aktiviti lasak.

"Kemudian, gaya penampilan kami juga berbeza. Saya lebih gemarkan fesyen ringkas dan ranggi seperti baju-T dan denim. Namun Fathirah gemarkan fesyen feminin dan seksi," jelas Fathiah yang masih menuntut di tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Terengganu. Pada setiap hujung minggu, dia akan datang ke Kuala Lumpur untuk membantu adik dan bapanya menguruskan Giffarine.



No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: