Monday, November 9, 2009

Gaya anak Presiden AS

Bukan gaya ibu sahaja yang menjadi ikutan, malah fesyen anak-anak turut menjadi tumpuan penduduk Amerika Syarikat.


MALIA dan Sasha gemar menyarungkan trench coat yang berwarna terang dan ceria.


SELEPAS bapa mereka, Barack Hussein Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-44, Malia Ann, 11, dan Natasha, 8, turut menerima tempias populariti.

Setiap hari ke mana sahaja dan apa juga aktiviti yang dilakukan oleh dua kanak-kanak perempuan itu, kelibat mereka pasti akan menjadi buruan lensa kamera jurugambar terutama paparazi yang dahagakan berita-berita sensasi.

Biarpun bapa kesayangan mereka merupakan presiden pemimpin kulit hitam pertama yang menerajui sebuah negara kuasa besar dan mereka kini menjadi penghuni Rumah Putih, namun Malia dan Natasha (Sasha) masih bebas melakukan aktiviti yang kanak-kanak biasa lain lakukan.

Selain bersukan, menanam pokok bunga dan bermain bersama haiwan peliharaan, murid Sidwell Friends School di Washington DC itu tidak ketinggalan meluangkan masa menghadiri konsert selebriti kesayangan.


MALIA bijak bergaya mengikut kesesuaian tempat dan konsep majlis.


Adik-beradik yang pernah menerima kunjungan kejutan daripada kumpulan Jonas Brothers itu bukan sekadar dikenali dengan sifat ramah, malah mereka mudah melemparkan senyuman. Pada masa yang sama, gaya penampilan mereka juga menjadi bual bicara masyarakat AS dan serata dunia.

Walaupun bergelar anak presiden tetapi hakikatnya Malia dan Sasha masih mengamalkan sikap sederhana. Mereka juga diperhatikan bijak memilih pakaian mengikut kesesuaian majlis dan tempat yang dikunjungi. Kebiasaannya mereka kerap menyarung baju-T ringkas dan padanan seluar pendek atau seluar jean setiap kali mengikut ibu bapa mereka melawat rumah-rumah kebajikan.

Lebih menarik lagi, adik-beradik itu juga gemar menyarung pakaian yang berkonsepkan warna-warni dan ceria. Ternyata pilihan sedemikian seiring dengan dunia kanak-kanak yang penuh dengan kegembiraan. Misalnya, Malia pernah memadankan seluar rona biru, skirt warna kelabu, tali pinggang hitam, baju-T merah dan kardigan warna kuning. Begitu juga Sasha yang pernah menyarung jaket labuh kuning diraja dan seluar separa lutut motif flora.


DRES merah yang dipakai oleh Malia mendapat sambutan orang ramai. BAWAH: GAYA Sasha yang baru pulang dari sekolah.


Menurut pengasas bersama jenama Denim & Daisies di Boonton, Bette Esposit, pengaruh ibu mereka Michelle Obama yang bijak bergaya turut diaplikasikan oleh Malia dan Sasha.

"Michelle mempunyai stail fesyen yang menawan. Saya fikir, orang ramai kini mula meniru fesyen Michelle, Malia dan Sasha. Mereka merupakan antara keluarga pencetus gaya fesyen tersendiri," ujar Bette yang dipetik menerusi laman sesawang www.zimbio.com.

Kata-kata pujian yang dilahirkan oleh Bette itu ada benarnya. Pernah suatu ketika selepas Malia muncul di pentas dengan memakai gaun merah sutera taffeta label Biscotti Inc. syarikat tersebut tidak putus-putus menerima panggilan telefon daripada pelanggan untuk menempah pakaian yang sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: