Sunday, November 15, 2009

Malaysia hampiri slot Piala Dunia


NABIL meraikan jaringan ketiga skuad negara ketika menentang China di Invercagill, New Zealand.





SKUAD hoki negara berjaya mara ke final Kelayakan Piala Dunia 2010 selepas menewaskan China 3-0 di Invercagill, New Zealand semalam.

Kemenangan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu membolehkan skuad negara akan membuat perhitungan dengan New Zealand dalam aksi final hari ini.

Lebih menarik, skuad kendalian Tai Beng Hai itu berpeluang melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di New Delhi jika berjaya membenam New Zealand nanti.

Bagaimanapun, skuad negara bakal berdepan ujian getir kerana mereka tewas 2-4 kepada New Zealand dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Pada aksi menentang China semalam, skuad negara terpaksa menunggu membuka tirai jaringan melalui Kevinder Singh pada minit ke-37.

Gol itu ternyata membakar semangat barisan negara apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil meledak gol kedua seminit kemudian.

China pula yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke final dilihat semakin tertekan.

Beberapa serangan balas mereka gagal menembusi gawang skuad negara yang dikawal oleh S. Kumar.

Menerusi satu serangan balas, skuad negara berjaya memperoleh gol ketiga pada minit ke-51 setelah Nabil Fiqri Mohd. Noor menyudahkan hantaran silang Kevinder Singh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: