KONTRAKTOR yang membina Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak menanggung padah apabila perlu menanggung kesemua perbelanjaan baik pulih bumbung stadium itu yang runtuh Jun lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, semua kos untuk kerja-kerja baik pulih itu dipertanggungjawab kepada kontraktor asal kerana stadium berkenaan masih dalam tempoh jaminan mereka.
“Kabinet beberapa hari lepas memutuskan bahawa semua kos akan ditanggung oleh pihak kontraktor selepas meneliti hasil siasatan runtuhan stadium tersebut dan kerja-kerja itu akan dipantau pihak JKR (Jabatan Kerja Raya),” kata Shabery selepas menutup Konvensyen Halatuju dan Wawasan Gerakan Belia 4B(M) negeri Terengganu di Kuala Terengganu semalam.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas butiran mengenai kos, tempoh yang ditetapkan untuk kerja-kerja baik pulih tersebut atau bentuk bumbung sama ada menyamai rekaan asal atau sebaliknya, kerana ia terletak di bawah seliaan JKR.
“Biarlah pihak JKR yang jelaskan mengenai perkara itu, tetapi kita berharap ia dapat dimulakan secepat mungkin dan stadium itu dapat digunakan kembali dalam masa terdekat demi kepentingan perkembangan sukan di negeri ini,” katanya.
Pada 2 Jun lalu, kira-kira pukul 9.30 pagi, bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.
Bumbung yang runtuh itu menimpa sebuah kereta Perodua Kancil dan tiga buah motosikal, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: