Tuesday, November 10, 2009

Makmal Analisis Halal di UPM




SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bakal mendirikan makmal analisis halal pertama di negara ini bagi menjalankan uji kaji produk makanan dalam menentukan status halalnya.

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal UPM, Profesor Madya Dr. Shuhaimi Mustafa (gambar) berkata, makmal yang dinamakan Makmal Analisis Halal UPM itu akan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM10 juta dan dijangka beroperasi pada awal tahun hadapan.

"Makmal yang dibina khas untuk melaksanakan analisis barangan dan produk halal di negara ini masih lagi dalam proses pembinaan. Pembangunan institusi itu telah bermula pada pertengahan tahun ini dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

"Projek itu akan dibiayai oleh EPU dan UPM yang melibatkan pelaburan sebanyak RM8 juta bagi pembelian mesin dan peralatan khas untuk tujuan uji kaji manakala bakinya sebanyak RM2 juta lagi akan digunakan untuk pembangunan makmal tersebut,'' katanya ketika ditemui selepas Seminar Sehari Kesedaran Produk Makanan Halal 2009 anjuran UPM di sini semalam.

Menurut Shuhaimi, makmal yang akan diletakkan di bawah pengendalian Institut Penyelidikan Produk Halal UPM itu akan mengurangkan masa pengesahan dan verifikasi status makanan atau produk halal yang diproses di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: