|
|
Saya adalah peminat fanatik Lisa dan mula mengenali Lisa melalui iklan Pure Essentials- Sunshine On My Window hampir 10 tahun lalu.
1. Lisa mempunyai kelulusan dalam bidang undang-undang, tak mahu ke menjadi seorang pengamal undang-undang seperti allahyarham ayah Lisa? Tak rasa rugikah jika tak diamalkan?
2. Kenangan pahit dan manis sepanjang bergelar artis?
n Hafify Flint Skywarker, Melaka.
LISA
1. Ya , Lisa lulus ijazah jurusan undang-undang pada tahun 2007 lalu dan untuk pengetahuan saudara, Lisa ingin juga menjadi seorang peguam seperti arwah Daddy Lisa pada suatu hari nanti. Oleh kerana sistem perundangan yang Lisa pelajari adalah undang-undang United Kingdom, untuk praktis di Malaysia, Lisa dikehendaki untuk mengambil dan lulus dalam kursus Sijil Guaman Malaysia atau lebih kenali sebagai CLP (Certificate of Legal Practise).
2. Lisa sebenarnya seorang yang positif dan Lisa akan cuba untuk sentiasa mengingati diri bahawa jikalau no pain, no gain. Cuma Lisa sekeluarga harapkan dan doakan supaya perkara yang tidak diingini tidak berlaku. Setakat ini, Lisa rasa kenangan manis Lisa sejak bergelar anak seni adalah apabila Lisa memenangi anugerah Pelakon Harapan Wanita pada 2008 untuk Festival Filem Malaysia ke 21.
Kahwin sebelum usia 30
Hai Lisa,
Apa khabar? Harap Lisa sentiasa sihat dan berjaya dalam bidang yang Lisa ceburi. Sebagai peminat saya sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Lisa.
1. Apakah ciri-ciri lelaki idaman Lisa?
2. Umur dah semakin meningkat. Masih belum jumpa calon suami yang sesuai? Bila agaknya Lisa akan menamatkan zaman bujang?
3. Bagaimana untuk menghubungi atau mengetahui maklumat terkini Lisa?
n Shahrul Annaz Nasir,
Seri Iskandar, Perak.
LISA
1. Ciri-ciri lelaki idaman? Hehe. Awak mungkin boleh bosan dengan jawapan klise yang Lisa berikan tetapi secara jujurnya Lisa sendiri tidak pasti apa ciri-ciri lelaki idaman Lisa. Mungkin bagi Lisa pada mulanya yang penting adalah keserasian dan tarikan yang akan wujud secara semula-jadi.
2. Mungkin kerana buat masa ini, fokus Lisa lebih tertumpu kepada karier Lisa. Lisa perlu laksanakan apa yang patut dan perlu untuk diri Lisa dan juga keluarga terdahulu. Insya Allah, apabila masanya sesuai nanti. Kalau diberi izin Allah, mungkin sebelum Lisa berumur 30 tahun.
3. Lisa agak aktif dalam dua website iaitu Facebook Fanpage yang bernama Lisa Surihani dan juga Twitter iaitu lisa_surihani. Walaubagaimanapun sibuk Lisa, Lisa akan cuba sedaya upaya Lisa untuk update perkembangan terkini di situ.
Mendaki tangga kejayaan
Assalamualaikum.
Saya merupakan salah seorang peminat Kak Lisa dan sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Kak Lisa. Saya ada beberapa soalan untuk Kak Lisa dan harap Kak Lisa sudi menjawab soalan saya.
1. Macam mana dengan kerjaya Kak Lisa yang lain iaitu peguam?
2. Apakah perkembangan terbaru Kak Lisa?
3. Apakah impian Kak Lisa dalam bidang seni?
n Fatin Sabrina,
Hulu langat, Selangor.
LISA
1. Kak Lisa buat masa ini menumpukan fokus Kak Lisa dalam bidang lakonan. Kak Lisa ingin juga menjadi seorang peguam seperti arwah Daddy Kak Lisa. Apabila Kak Lisa lebih bersedia nanti akan Kak Lisa duduki untuk peperiksaan untuk kursus Sijil Guaman Malaysia yang membolehkan Kak Lisa untuk menjadi peguam di Malaysia.
2. Kak Lisa kini sedang dalam penggambaran untuk drama siri Mertua vs Menantu musim 2. Insya-Allah pada hujung bulan November ini, Kak Lisa akan mula penggambaran untuk filem Jangan Pandang Belakang Congkak 2.
3. Impian Kak Lisa adalah untuk menaiki tangga kejayaan. Kak Lisa sedar dan akui bahawa Kak Lisa baru lagi dalam industri seni ini. Banyak lagi yang perlu Kak Lisa mempelajari dan jauh lagi perjalanan sebenarnya.
Tak mungkin jadi penyanyi
Hai Lisa
Apa khabar? Harap Lisan sentiasa sihat dan menjadi pelakon terbaik pada masa hadapan
1. Bagaimana Lisa melihat kerjaya seni anda? Adakah ia semakin berkembang?
2. Apa pencapaian peribadi terbaik yang pernah Lisa perolehi sejak mula berlakon?
3. Tidak mahu menceburi bidang lain seperti menyanyi atau mengacara?
n Yang Kalsum,
Kuala Lumpur.
LISA
1. Dalam apa jua bidang yang Lisa ceburi, Lisa harap dan doakan supaya Lisa dapat laksanakan dengan baik. Bagi setiap pekerjaan yang dilaksanakan oleh Lisa, alhamdulillah Lisa rasa bersyukur kerana pengalaman dan ilmu dalam bidang lakonan kian bertambah dan murah rezeki.
2. Alhamdulillah pada tahun 2007, Lisa memenangi anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik untuk Filem Festival Malaysia (FFM-21).
3. Lisa akui Lisa suka menyanyi tetapi sebagai satu kerjaya, Lisa tidak bersedia dan Lisa rasa amat segan sekali. Untuk pengacaraan pula, sebenarnya Lisa pernah mengacara untuk beberapa buah rancangan sebelum Lisa lanjutkan pelajaran ke luar negara. Jikalau ada rezeki, Lisa ingin mengacara semula.
Tak kisah dengan produksi lain
Assalamualaikum Lisa,
Apa khabar? Harap Lisa sentiasa sihat dan terus menjadi anak seni yang berjaya bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat.
1. Apakah filem atau drama yang benar-benar melekat di hati Lisa dan Lisa sangat berpuas hati membawakannya?
2. Kenapa kebanyakan filem lakonan Lisa mesti ada sangkut paut dengan MIG Group? Adakah keselesaan yang Lisa cari atau Lisa takut bekerjasama dengan pengarah lain?
3. Sampai bila nak menjadi anak seni dan apakah cabaran yang terbesar sejak bergelar anak seni?
n Pak Man Setia,
Ampang, Selangor.
LISA
1. Bagi drama, yang memberi impak yang mendalam bagi Lisa adalah apabila Lisa berlakon untuk Slot Samarinda; drama Obsesi arahan Murali Abdullah tahun 2007. Bagi filem pula, Legenda Budak Setan (belum ditayangkan). Watak Ayu yang dibawa oleh Lisa, dipukul oleh watak Azmi yang dibawa oleh pelakon berbakat kita Que Haidar. Lisa harap babak kena pukul itu menyakinkan.
2. Lisa adalah seorang artis residen MIG Metrowealth dan Lisa berasa amat bersyukur kerana diberi kepercayaan. Lisa sebenarnya pernah beberapa kali juga bekerjasama dengan syarikat produksi lain. Lisa tidak mempunyai masalah bekerjasama bersama syarikat produksi lain dari MIG Metrowealth.
3. Secara jujurnya Lisa tidak berapa pasti sampai bila Lisa akan bergelar sebagai seorang anak seni memandangkan Lisa masih baru dalam industri ini. Bagi cabaran pula, setakat ini alhamdulillah Lisa ucapkan kerana belum lagi ada yang begitu berat bagi Lisa sekeluarga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: