Sunday, November 15, 2009

Menjenguk arca seramik kontemporari


Umibaizurah bersama sebahagian daripada hasil karya seramik kontemporari.


LUKISAN sering kali mendapat tempat dalam kalangan penggemar seni tempatan. Namun bagi yang kurang arif mengenai bidang kreatif ini, sebenarnya masih banyak lagi cabang-cabang seni yang kurang mendapat perhatian peminat.

Selain lukisan, arca juga merupakan salah satu bidang kreatif yang jarang sekali diteroka oleh pengkarya. Bezanya arca daripada medium seperti kayu dan besi sering kali dihasilkan tetapi kuantitinya tidaklah sebanyak lukisan.

Kebiasaannya arca sering kali dianggap sebagai sebuah patung yang menggambarkan satu entiti khusus seperti manusia, peristiwa, objek dan lain-lain yang dijadikan perlambangan.

Di negara luar terutamanya negara-negara Eropah, arca akan dicipta dan dihasilkan untuk memperingati sesuatu peristiwa bersejarah mahupun bagi mengenang tokoh.

Kini, seni arca sudah bergerak lebih jauh dan melalui beberapa fasa sehingga mampu bersaing dengan produk yang dihasilkan di luar negara. Melihatkan perkembangan di Malaysia, seni arca ini bergerak agak perlahan walaupun mempunyai ramai pengkarya yang berbakat besar.

Hal ini tidak dinafikan oleh Umibaizurah Mahir @ Ismail yang sudah berkecimpung dalam menghasilkan karya seramik sejak mula menamatkan zaman persekolahan lagi.

Selama 13 tahun melibatkan diri dalam bidang ini, anak kelahiran Johor itu kini mampu berbangga apabila berpeluang mengadakan pameran solo pertamanya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pameran Hybrid-Umibazurah Mahir @ Ismail boleh dianggap pencapaian terbaik dirinya apabila 60 karya seramik isolasi berjaya dipamerkan di Wei-Ling Gallery baru-baru ini.

Riak wajah gembira jelas terpancar di wajah Umi apabila melihatkan sambutan yang begitu baik daripada peminat seni arca sehinggakan ada yang sanggup datang dari Singapura semata-mata mahu melihat sendiri arca yang dihasilkannya.

“Arca bukanlah sesuatu yang baru dalam bidang kreatif. Cuma di Malaysia keadaannya tidak sama dengan apa yang berlaku di negara-negara lain.

“Kebanyakan karya-karya yang saya hasilkan merupakan kesinambungan dan minat sejak dari dulu lagi. Tak salah jika saya meneruskan sesuatu yang memang saya suka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Atas dasar dan minat yang mendalam terhadap arca, Umi yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam sanggup meninggalkan kerjayanya semata-mata mahu memberikan sepenuh perhatian terhadap kariernya itu.

Mungkin ada yang beranggapan apa yang dilakukan oleh Umi tidak berbaloi tetapi apa yang diimpikan selama ini sudah mula menunjukkan hasil apabila Umi dianggap sebagai pelopor kepada ‘moden seramik arca kontemporari’ di Malaysia.

Jika dilihat kepada arca-arca seramik yang ada pada masa kini, kebanyakan pengkarya lebih suka menggambarkan ia dalam bentuk pinggan mangkuk mahupun bentuk-bentuk konservatif yang lain.

“Inilah matlamat saya mahu mengubah prospek dan persepsi orang ramai terhadap seramik. Sebut sahaja seramik pasti orang akan berfikir ia pinggan mangkuk.

“Sedangkan dengan seramik itu, pelbagai arca yang kita boleh laksanakan. Atas dasar itu saya saya mahu mengembangkan arca seramik ini ke peringkat yang lebih tinggi supaya industri kreatif ini akan berkembang dengan lebih pesat” jelasnya lagi.

Bercerita mengenai pameran tersebut, Umi telah mula membuat arca-arca tersebut sejak dua tahun yang lepas lagi.

Baginya ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan memandangkan pelbagai cabaran dan rintangan yang terpaksa dihadapinya terutama dalam menentukan idea dan bentuk yang ingin dihasilkan.

Wanita yang berusia 34 tahun itu berkata, sukar sebenarnya untuk mencari ilham bagi menghasilkan bentuk-bentuk menarik berbanding proses pembuatan.

“Inilah cabaran terbesar saya. Dua tahun masa yang diambil untuk membuat kesemua arca seramik ini sedangkan saya sudah mula memikirkannya tiga tahun sebelum ini.

“Alhamdulillah, semuanya dapat saya laksanakan seperti apa yang saya rancang. Saya sangat berpuas hati apabila kebanyakan peminat arca seramik ini memberikan respons yang positif setelah melihat kesemuanya.

“Tumpuan saya kini sudah mempunyai studio sendiri yang diberi nama Patisatustudio yang juga berperanan sebagai tempat saya menghasilkan arca seramik dan juga dijadikan galeri persendirian.

“Banyak program-program yang sudah saya aturkan untuk diri saya dan juga beberapa karyawan muda yang mula mencari tapak dalam bidang ini.

“Kerjasama itu tidak terletak terhadap karyawan-karyawan tempatan sahaja sebaliknya saya juga merancang untuk membawa pengkarya luar untuk mempamerkan arca mereka,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: