Tuesday, November 10, 2009

Kedah bersih tanpa sampah


PHAHROLRAZI Zawawi memotong reben simbolik pelancaran skuad gerak cepat Environment Idaman selepas termeterainya perjanjian menandatangani pengurusan sisa pepejal antara Environment Idaman Sdn. Bhd. dengan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) di Alor Setar, baru-baru ini.


ALOR SETAR – Masalah sampah menjadi isu hangat di negeri ini terutama di bandar raya ini sejak beberapa tahun lalu.

Rungutan penduduk yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dengan tahap kebersihan di sekitar kawasan mereka bukan satu perkara baru, malah sering kali dipaparkan di dada akhbar.

Setelah sekian lama mengharapkan masalah itu selesai, harapan penduduk untuk tinggal dalam persekitaran yang lebih bersih dijangka bakal menjadi kenyataan mulai bulan ini.

Ini berikutan pengambilalihan operasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh Syarikat Environment Idaman Sdn. Bhd. (EISB) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mulai 1 November lalu.

Buat permulaan, sebanyak lima PBT memeterai perjanjian dengan syarikat berkenaan sebelum ia dijangka disusuli ke kawasan lain dalam tempoh terdekat.

Pengarahnya, Datuk Azmil Khalili Khalid berkata, pengambilalihan operasi sepenuhnya secara interim itu melibatkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS); Majlis Daerah Kubang Pasu; Majlis Daerah Padang Terap, Majlis Daerah Sik dan PBT Taman Teknologi Tinggi Kulim.

Katanya, menerusi perjanjian tersebut, EISB akan menjalankan kerja-kerja pengurusan pelupusan sisa pepejal dan pembersihan awam di kawasan berkenan secara cekap dan teratur.

“Dengan termeterainya perjanjian pengurusan ini telah mengesahkan pengambilalihan operasi oleh pihak kami yang sebelum ini sinonim dengan bidang tugas PBT.

“Penantian kami selama lapan tahun berbaloi dan dengan berkat kerjasama daripada semua pihak seperti kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan PBT akhirnya telah membuahkan hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengurusan antara PBT negeri dan EISB di sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi.

Kedah merupakan negeri pertama yang menandatangani perjanjian tersebut dengan syarikat berkenaan yang diberi kepercayaan oleh kerajaan Pusat untuk menjalankan operasi pelupusan sisa pepejal di negeri-negeri utara Semenanjung.

Azmil berkata, pihaknya menjangkakan pada peringkat permulaan pengambilalihan perkhidmatan berkenaan akan melalui tempoh percubaan yang sukar daripada segi penerimaan persepsi masyarakat, perubahan minda tenaga kerja dan pelaksanaan operasi.

Bagaimanapun, kata beliau, cabaran berkenaan akan menjadi pembakar semangat kepada syarikat itu dalam memastikan perjalanan operasi yang sebaik mungkin.

“Syarikat ini mempunyai pengalaman dan kepakaran yang luas dalam pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam menerusi kakitangan dan syarikat induknya.

“Justeru, pengalaman itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk operasi di negeri ini,” ujar beliau.

Dengan rasminya pengambilalihan operasi tersebut, EISB kini berdepan dengan tugas mencabar untuk memenuhi persepsi masyarakat yang meletakkan harapan menggunung agar aspek kebersihan di negeri ini berada pada tahap terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: