|
|
KUALA LUMPUR - Dalam usaha meningkatkan kebersihan kawasan, penduduk Taman Lembah Maju di Pandan Indah di sini menganjurkan aktiviti gotong-royong 1Malaysia semalam.
Selain untuk tujuan kebersihan, program yang disertai penduduk pelbagai kaum dan agama itu juga mampu merapatkan hubungan sesama penduduk.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lembah Maju, Abdul Khalid Shaari berkata, aktiviti gotong-royong itu berjaya menarik penglibatan semua kaum dan dari pelbagai peringkat umur.
Menurutnya, aktiviti itu telah diadakan secara bersepadu melibatkan kesemua kawasan di Taman Lembah Maju.
"Jika sebelum ini ia dibuat secara sendirian tetapi untuk hari ini kita telah mengajak semua penduduk untuk turut serta dalam membersihkan kawasan perumahan secara bersama.
"Dianggarkan sebanyak 500 penduduk kawasan perumahan telah menyertai aktiviti gotong-royong pada pagi ini," katanya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka, Iskandar Samad; ADUN Teratai, Jenice Lee; dan Ahli Majlis MPAJ, Dr. Fam Seng Choy.
Seorang penduduk, Jasni Ithnin, 51, berkata, aktiviti seperti itu penting kerana dapat menyatukan penduduk di kawasan tersebut.
"Melalui aktiviti gotong-royong seperti ini penduduk dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.
"Adalah lebih baik jika aktiviti seperti ini diadakan dengan lebih kerap supaya dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di kawasan ini," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Ramli Rama Abdullah, 37, berkata, aktiviti itu memang bagus dalam meningkatkan jalinan kerjasama antara penduduk di kawasan perumahan itu.
"Penduduk di Taman Lembah Maju ini terdiri dari pelbagai bangsa dan aktiviti seperti ini dapat mencapai matlamat 1Malaysia seperti yang disarankan Perdana Menteri kita.
"Kalau boleh ia harus dijadikan sebagai acara tahunan untuk memupuk kerjasama yang erat antara penduduk di kawasan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: