|
|
MELAKA - Deruman enjin motosikal berkuasa besar tanpa henti menggegar bumi Melaka, baru-baru ini menarik perhatian setiap mata yang memandang.
Bagi sesetengah masyarakat sering memandang negatif terhadap penunggang motosikal berkuasa besar berikutan imej mereka yang kelihatan kasar dan rugged.
Bagaimanapun, tidak semua begitu kerana kebanyakan daripada peserta berdisiplin tinggi.
Walaupun mereka berimej rambut panjang dan berbaju lusuh tetapi mereka sering terlibat dalam aktiviti amal termasuk mengutip derma untuk mengisi Tabung Gaza Palestin.
Suasana itu dapat dilihat di Festival Motosikal Antarabangsa Melaka (MIBF) 2009, anjuran Realhouse Venture Sdn. Bhd., yang berlangsung selama tiga hari dari 6 hingga 8 November lalu.
Walaupun festival ini hanya berlangsung selama tiga hari, program amal yang melibatkan kira-kira 2,000 orang peserta bersama 1,000 motosikal berkuasa besar dan klasik telah berkampung bagi sama-sama menyertai festival yang penuh gemilang ini yang diadakan di Rumah Media Melaka, Ayer Keroh.
Program yang bertemakan Ride For Gaza ini memperlihatkan kesungguhan pihak penganjur dalam mengumpul hampir 2,000 orang peserta daripada seluruh Malaysia.
Turut serta adalah penyertaan daripada negara luar seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.
Terdapat pelbagai jenis model motosikal berkuasa tinggi yang digunakan oleh para peserta seperti klasik, superbike, 'easyrider,' 'tourer' dan 'custom made.'
Apa yang menarik, festival ini menjadi pertemuan pemilik motosikal berkuasa besar berkongsi pengalaman serta dapat menjalankan aktiviti amal dengan berkonvoi sambil mengutip derma.
Majlis pelepasan para peserta telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Lebih menarik apabila beliau turut menunggang motosikal besar jenis Can-Am Spider Rotax 990cc untuk turut sama menyertai program tersebut.
Pengarah Eksekutif Realhouse Venture Sdn. Bhd., Azman A. Rahman berkata, program bertemakan Ride for Gaza itu, antara lain bertujuan mengutip derma bagi disumbangkan kepada rakyat Palestin.
''Melalui program amal ini, pihak kami menyasarkan kutipan derma untuk rakyat Palestin serta menyalurkan kutipan derma ini ke tabung bencana alam menerusi sumbangan peserta, orang ramai dan hasil jualan amal sepanjang festival berlangsung.
''Peserta konvoi melalui perjalanan sejauh 50 kilometer sebelum berhenti di pekarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir.
''Konvoi ini dirancangkan sebagai konvoi motosikal terbesar pernah diadakan di negara ini yang menggabungkan motosikal klasik dan motosikal berkuasa besar," katanya.
Selain konvoi beramai-ramai yang merupakan acara kemuncak festival tersebut, Azman berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang bersesuaian dengan pelbagai lapisan umur.
Katanya, antara aktiviti tersebut ialah pertandingan mewarna bagi kanak-kanak sekolah rendah serta pameran daripada agensi kerajaan dan swasta turut terlibat.
''Selain persembahan pentas dengan mengadakan konsert untuk orang ramai dan aktiviti lain, apa yang penting, pihak kami ingin mencapai satu matlamat positif mengajak anak-anak muda supaya tidak membuang masa dengan perkara tidak berfaedah.
''Ini dapat dilihat golongan anak-anak muda suka membuang masa dengan aktiviti merempit, namun melalui festival besar-besaran ini, kita dapat membawa satu pengalaman baru kepada golongan ini," katanya.
Azman berkata, pemilihan Melaka sebagai lokasi festival dibuat berikutan negeri ini kurang menganjurkan kegiatan sedemikian yang banyak bertumpu di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
''Seperti yang kita sedia maklum, negeri ini mempunyai banyak produk pelancongan yang terkenal, maka tidak hairanlah jika penganjuran program ini dianggap tepat untuk memperkenalkan negeri ini kepada pemilik motosikal berkuasa tinggi dari luar negara.
''Lebih menarik, penganjuran festival ini turut berjaya menjana ekonomi apabila tempahan bilik untuk hotel di kawasan Ayer Keroh juga penuh hingga menyebabkan ada peserta terpaksa menyewa penginapan di lokasi lain," katanya.
Katanya, festival amal ini mendapat sambutan baik pelbagai pihak dan berharap ia dapat dijadikan sebagai salah satu acara tahunan di negeri Melaka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: