Wednesday, November 11, 2009

Karyawan komited bantu artis


FREDDIE (tengah) bersama barisan artis yang akan menjayakan Malam Amal Restoran Puteri Bersama Karyawan pada 17 November ini.


KALAU menyebut soal kebajikan dan menjaga perihal berkaitan golongan artis, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) pastinya menjadi antara persatuan hiburan yang menjuarai skop tanggungjawab tersebut.

Mengasaskan Skim Pencen sejak lima tahun lalu bagi membantu artis veteran dan mereka yang mengalami masalah kesihatan, para penerimanya kini sudah pun mencecah 26 orang.

Walaupun jumlah pemberian skim itu hanyalah RM500 sebulan dan boleh dikatakan kecil, sekurang-kurangnya ia dapat juga menampung belanja harian mereka.

Bercadang untuk meluaskan lagi jumlah penerima skim berkenaan, namun bagi Karyawan, semuanya tidak mampu dilakukan tanpa ada sokongan pelbagai pihak.

Paling penting, ujar Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, pihaknya amat memerlukan sokongan kerajaan dalam menyalurkan dana bagi membolehkan Karyawan bergerak dengan lebih efisien.

"Perbelanjaan bulanan Karyawan sahaja sudah mencecah RM25,000. Semuanya adalah untuk melunaskan segala perbelanjaan termasuk urusan kakitangan, pejabat dan pencen artis.

"Buat masa ini, Karyawan banyak bergantung kepada undangan untuk menguruskan majlis-majlis hiburan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi.

"Ia menjadi sumber pendapatan Karyawan untuk mengisi tabung persatuan ini bagi terus bergerak,'' katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Malam Amal Restoran Puteri Bersama Karyawan di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penganjuran malam amal tersebut merupakan usahasama bagi mengisi tabung kebajikan dan pencen Karyawan yang diilhamkan oleh pemilik Restoran Puteri iaitu Rubiah Suparman dan Habsah Hassan.

Malam Amal Restoran Puteri Bersama Karyawan yang bertemakan Malam Nostalgia bakal dianjurkan di Restoran Puteri di TTDI pada 17 November ini, pukul 8 malam.

Freddie berkata, selain memperoleh pendapatan dalam mengendalikan persembahan-persembahan dan menjadi 'orang tengah' kepada agensi luar untuk mendapatkan artis , Karyawan turut mempunyai sumber pendapatan lain dalam menggerakkan tabung kebajikan serta pencen artis.

Jelasnya, untuk itu Karyawan baru-baru ini diberi tanggungjawab menguruskan acara hiburan di Dataran Budaya, Istana Budaya pada setiap hujung minggu.

"Ini adalah satu tanggungjawab besar yang dipikul oleh pihak persatuan dan pihak kami sentiasa berusaha dalam menambah sumber kewangan memandangkan kos-kos lain semakin meningkat.

"Justeru, pihak persatuan sentiasa berusaha mencari projek-projek baru sebagai sumber pencarian dana bagi menampung kewangan untuk kebajikan artis,'' tegasnya.

Bantuan kerajaan

Kata Freddie, sokongan kerajaan sememangnya diperlukan oleh Karyawan buat masa ini bagi melancarkan usaha Karyawan mengagihkan pencen artis pada setiap bulan.

"Kami di Karyawan sudah beberapa kali bertemu dengan kementerian berkenaan terutamanya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

"Karyawan juga baru sahaja membuat sesi pembentangan di Kementerian Kewangan. Dua kementerian ini memberi jaminan untuk membantu Karyawan.

"Karyawan mengharapkan dengan bantuan kerajaan, kami akan dapat menyalurkan Skim Pencen pada setiap bulan kepada artis dengan baik,'' ujarnya.

Malam amal

Sementara itu, mengenai Malam Amal Restoran Puteri Bersama Karyawan, sebanyak 13 buah meja dengan setiap meja berharga RM5,000 disediakan kepada mereka yang prihatin terhadap golongan artis.

Selaras dengan konsep 1Malaysia, malam amal itu akan turut diserikan dengan persembahan artis pelbagai kaum dengan Jaafar Onn bertindak selaku pengacara majlis.

Antara artis-artis terbabit ialah Dayang Nurfaizah, Datuk Yusni Hamid, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Ahmad Jais, Salwa Abd. Rahman, Rohana Jalil, Nassier Wahab, Andre Goh, V. Sarangabani, Amylea, Haziq, Iqwal serta dua penyanyi baru, Shasha dan Wani.

Tempahan meja boleh dibuat dengan menghubungi pejabat Karyawan di talian 03-7955297/03-79606459 atau 012-3006084 (Ahmad).

Menurut Freddie, malam amal berkenaan adalah salah satu usaha untuk memperoleh sumbangan dana bagi mengisi tabung kebajikan Karyawan.

"Ia juga memperlihatkan semangat pengorbanan artis yang begitu komited untuk membantu Karyawan.

"Pihak saya berharap agar usaha berkenaan akan berterusan,'' jelasnya.

Dalam pada itu, Rubiah ketika ditanya mengenai malam amal itu berkata, hatinya tergerak untuk menganjurkan malam amal terbabit selepas melihat ramai golongan artis kini menderita pelbagai penyakit.

"Kami menawarkan tempat. Kalau hendak bagi terus kepada individu, berapa sangatlah jumlahnya.

"Oleh yang demikian, kita salurkan terus kepada Karyawan,'' katanya.

Menurut Rubiah, bukan sahaja program bercorak hiburan, Restoran Puteri juga menawarkan tempat untuk mengadakan program-program keagamaan pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: