Wednesday, November 11, 2009

Top 5 belum tentu ke akhir


Lima penyampai lagu yang berjaya memperoleh mata tertinggi pada peringkat pertama separuh akhir Muzik-Muzik yang berlangsung di Sri Pentas, Plaza Alam Sentral, Shah Alam malam Jumaat lalu.


MEMBUKA tirai persembahan peringkat separuh akhir Muzik-Muzik, lima buah lagu telah diumumkan mengungguli pemarkahan untuk minggu pertama peringkat separuh akhir yang berlangsung di Sri Pentas, Plaza Alam Sentral, Shah Alam malam Jumaat lalu.

Lagu-lagu tersebut ialah Kau Aku ciptaan, lirik dan nyanyian oleh Aizat; Tak Mungkin Kerna Sayang ciptaan Ajai, lirik oleh Habsah Hassan yang dinyanyikan oleh Alyah dan Aku Scandal ciptaan dan lirik oleh Noh nyanyian kumpulan Hujan.

Tidak ketinggalan, Dan Sebenarnya ciptaan, lirik dan nyanyian oleh Yuna serta Raja Gelek ciptaan Damien Mikhail manakala lirik oleh Damien Mikhail dan One Nation Emcees yang dinyanyikan oleh One Nation Emcees.

Namun apa yang pasti, diumumkan sebagai lima lagu yang berjaya mengungguli markah tertinggi setakat ini bukanlah tiket yang mampu memberi jaminan bahawa kesemuanya layak untuk dipertandingkan di peringkat akhir nanti.

Ini kerana, menurut ketua juri pertandingan itu, Azhar Borhan, seperti sistem carta, pemilihan untuk layak dipertandingkan pada peringkat akhir nanti adalah bergantung sepenuhnya kepada markah yang diberikan juri.

"Persembahan lagu-lagu pada peringkat separuh akhir adalah penilaian kedua di mana hanya 30 peratus diberikan daripada jumlah markah keseluruhan. Manakala 70 peratus markah lagi telah diberikan oleh juri-juri profesional ketika proses penilaian menerusi cakera padat sebelum ini.

"Saya sendiri sebagai juri tidak menafikan nyanyian dan cara persembahan secara live mampu memberi kesan dan sentuhan berlainan daripada apa yang kita dengar daripada dalam cakera padat ataupun kaset.

"Sebab itulah kami tidak mahu keadaan ataupun suasana persembahan dan nyanyian live itu mempengaruhi pemarkahan. Jadi kami mengambil keputusan hanya 30 peratus sahaja diberikan pada peringkat separuh akhir," katanya.

Kembali kepada konsep asal Muzik-Muzik pada peringkat awal diperkenalkan tidak mempunyai sebarang kategori. Malah, ketika itu kepelbagaian muzik masih belum pesat seperti yang dialami oleh industri seni suara ketika ini.

"Apabila Muzik-Muzik mula memperkenalkan pelbagai kategori terhadap lagu-lagu yang dipertandingkan, sebagai juri, kadang-kadang terasa susah juga untuk kami membuat penilaian.

"Apabila kembali kepada konsep terbuka, apa yang kita lihat ia tidak jauh beza dengan pelbagai pertandingan lagu-lagu peringkat antarabangsa. Dan ini memperlihatkan satu perkembangan yang baik untuk industri muzik sendiri.

"Kita boleh lihat persaingan yang lebih hebat antara lagu-lagu yang dipertandingkan. Secara tidak langsung lagu-lagu tersebut boleh berdiri dengan sendirinya tanpa bergantung pada mana-mana kategori sekalipun," kata Azhar lagi.

Selain Azhar, empat lagi juri yang dipertanggungjawabkan untuk Anugerah Juara Lagu kali ini ialah Azlan Abu Hassan, Helen Yap, Mohariz Yaakob dan Ahadiat Akashah.

Melihat kepada senarai lima lagu yang diumumkan memperoleh markah tertinggi, tidak keterlaluan dikatakan pola pemilihannya lebih kepada lagu-lagu yang cukup popular ketika ini.

Malah, kebanyakannya lebih kepada lagu-lagu berentak balada dan rock.

Bagaimana pula dengan lagu-lagu berentak etnik?. Adakah lagu-lagu etnik seperti Enjut ciptaan Cat Farish, Roxy Tail dan Illegal nyanyian Noraniza Idris dan Oh Anok Anok ciptaan dan nyanyian Reshmonu tidak mampu menggugat dan memberikan persaingan dalam pertandingan tersebut?.

Mengulas perihal tersebut, kata Azhar, pada malam persembahan itu memang ada percubaan yang baik daripada lagu Enjut dan juga Oh Anok Anok namun, masih belum cukup kuat untuk memberikan saingan.

"Kita tidak menolak kebolehan mana-mana lagu, Raja Gelek misalnya sudah memperlihatkan kepelbagaian dari segi elemen muzik dan juga tariannya.

"Etnik kreatif melihat kepada kepelbagaian muzik serta persembahan itu sendiri dan tidak semestinya ia mempunyai lenggok asli. Secara tidak langsung ia bergantung juga kepada nilai komersial sesebuah lagu itu sendiri," katanya.

Sebanyak 14 buah lagu bakal terpilih ke peringkat akhir AJL24 yang bakal berlangsung Januari tahun depan.

Jumaat ini, jangan ketinggalan menyaksikan peringkat separuh akhir kedua Muzik-Muzik yang bakal bersiaran secara langsung di TV3 pukul 10 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: