GANJARAN hampir RM3,000 menanti juara, naib juara dan dua regu yang kalah separuh akhir pada Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Bawah-21 anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada Sabtu dan Ahad ini.
Kejohanan yang akan diadakan di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat, Kuala Lumpur itu terbuka kepada mana-mana kelab atau pertubuhan dengan syarat setiap pemain harus berusia 21 tahun dan ke bawah atau yang lahir pada 1988 dan selepasnya.
Begitupun, pemain yang menjalani latihan bersama skuad elit negara tidak dibenarkan mengambil bahagian.
"Pemain bawah 21 yang menjalani latihan bersama skuad elit kebangsaan dilarang daripada menyertai kejohanan ini tetapi tidak melibatkan pemain skuad pelapis," kata Ketua Seranta PSM, Tengku Adnan Tengku Burhanudin semalam.
"Tarikh tutup penyertaan ialah pada pukul 2 petang Khamis ini, 12 November 2009 dan majlis pengundian pertandingan akan dijalankan sejurus selepas itu di Kompleks MSN tersebut," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan PSM.
Setiap regu dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM80 dan juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 manakala naib juara (RM700) dan dua regu yang kalah separuh akhir, masing-masing bakal beroleh RM300.
Mereka yang berminat dan mahu mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi Tengku Adnan di talian 013-9238343 atau menerusi e-mel ke alamat, sharnan@ hotmail.com
Sementara itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut mempelawa peminat sepak takraw dan ragbi 10 sebelah di seluruh negara untuk menyertai Kejohanan Terbuka anjurannya pada 21 dan 22 November ini di kampus induk, Serdang.
Turut dipertandingkan ialah acara bola sepak yang berformat jemputan dengan terhad kepada lima pasukan iaitu UPM, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Prince of Songkhla Thailand, Sekolah Sukan Singapura dan sebuah universiti dari Indonesia.
"Dengan yuran penyertaan RM80 bagi sebuah regu (enam orang), acara sepak takraw menjanjikan hadiah paling lumayan iaitu wang tunai RM1,200, pingat dan piala pusingan buat juara, RM900 dan pingat (naib juara), RM600 dan pingat (kalah separuh akhir) dan RM150 (kalah suku akhir)," kata Ketua Pusat Sukan UPM, Hamzah Ismail.
Sebarang keterangan lanjut berhubung kejohanan sepak takraw di Dewan Serba Guna Pusat Sukan UPM dan ragbi 10 sebelah di Padang Ragbi UPM ini boleh diperoleh menerusi Mohd. Firdaus Abdullah di 03- 89464285/ 89464289 atau 012- 6115906 atau laman web, www.i-sukan.upm.edu.my
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: