Friday, November 20, 2009

Jalang tidak eksploit wanita


YASMIN berjaya mengetepikan beberapa nama pelakon wanita yang hebat bagi watak Maria.


JALANG. Melihat tajuk filem sulung terbitan De Baron Sdn. Bhd. sudah cukup mengundang kontroversi dan membuatkan orang ramai tak senang duduk.

Sesiapa sahaja yang mendengar tajuk filem ini, pasti tertanya-tanya adakah filem Jalang sejalang tajuknya atau sekadar ingin menarik orang ramai ke pawagam.

Tidak kurang juga, pasti ada yang berfikiran filem ini sarat dengan adegan seks, mengghairahkan serta memberahikan.

Selepas Hits diberi peluang untuk menonton prebiu filem ini, tidak dinafikan jelas terserlah kejalangan watak Maria yang dilakonkan oleh pendatang baru, Yasmin Khanif.

Watak Maria, seorang wanita yang seksi dan sanggup memperdagangkan tubuhnya demi mencapai status yang diingini dan akhirnya berniat untuk bertaubat dan memulakan hidup yang baru.

Filem yang mengangkat wanita sebagai teraju utama ini kelihatan seperti sengaja mengeksploitasi wanita dan seks untuk menarik peminat filem menontonnya.

Dalam Jalang, Yasmin Khanif 'dipergunakan' sepenuhnya apabila banyak adegan-adegan gadis berusia 21 tahun ini dirangkul oleh ramai pelakon lelaki.

Tetapi, penerbit filem Jalang, Imran Ismail, menafikannya dengan mengatakan filem ini diterbitkan untuk menimbulkan keinsafan terhadap kerjaya jalang yang menurutnya merupakan antara kerjaya tertua di muka bumi ini.

"Filem Jalang bukan mahu mengeksploitasi wanita atau seks tetapi ia bagi mengupas maksud jalang itu sendiri dan mengubah persepsi masyarakat mengenainya.

"Ia tidak fokus kepada watak Maria sahaja kerana jalang itu sendiri membawa maksud kecurangan seseorang yang sudah mempunyai komitmen tidak kira lelaki atau perempuan.

"Dalam filem ini, hampir kesemua berwatak jalang kerana masing-masing curang dengan pasangannya kecuali watak Benjamin Adam yang dilakonkan oleh Hairie Othman.

"Selain itu, filem ini mempunyai banyak unsur pengajaran dan menunjukkan agama adalah jalan penyelesaian yang dirujuk apabila bala menimpa kita," ujarnya ketika ditemui selepas majlis pra-tonton filem Jalang di sini baru-baru ini.

Kata Imran, Jalang tidaklah sekontroversi seperti yang dikatakan kerana filem ini melepasi tapisan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) tanpa sebarang pemotongan dan diklasifikasikan sebagai 18 PL.

Bertanya mengenai pemilihan pelakon dengan menampilkan muka baru sebagai teraju utama, Imran berkata; ia sebagai usaha untuk menampilkan heroin baru selepas Erra Fazira.

Menurutnya, beberapa artis terkenal seperti Amber Chia, Fazura, Nasha Aziz dan Janet Khoo pernah dicalonkan untuk membintangi Jalang tetapi Yasmin berjaya mengetepikan mereka semua.

"Saya rasa Yasmin paling sesuai dengan watak ini. Lagipun kalau Fasha yang berlakon tentu orang pun tak kisah jika terdedah sana sini sebab orang dah biasa tengok dia," jelasnya.

Ujarnya, dia berpuas hati dengan cubaan pertama Yasmin ke layar perak kerana sebagai pelakon baru dia sudah memberikan yang terbaik untuk menjiwai watak Maria yang gedik dan mengghairahkan itu.

Walaupun kelihatan gedik terlampau dibuat-buat sehingga meloyakan penonton dan seperti tidak sesuai untuk sesetengah babak, Imran berkata, watak Maria memerlukan dia berkelakuan sebegitu.

Lagipun tambahnya, Yasmin turut dibantu oleh pelakon-pelakon yang hebat seperti Hairie Othman, Helmi Husaini, Ridzuan Hashim, Maria Farida dan Kuswadinata.

Tidak meletakkan sebarang target untuk filem pertama terbitan De Baron ini, Imran yakin ia mampu menarik orang ramai menontonnya berdasarkan maklum balas dari laman internet.

Selepas ini, De Baron juga akan hadir dengan beberapa buah filem iaitu Datin Ghairah yang dilakonkan oleh Maria Farida dan Blues Untuk Aku yang merupakan arahan pertama Hairie Othman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: