Friday, November 20, 2009

Kehebatan HSM di pentas teater


JOEL Santiago (kiri) dan Brooke Gibson dalam satu babak romantis pementasan teater muzikal Disney's High School Musical: Summer Celebration!


KERJAYA mereka hanya bermula sebagai penari dan penghibur di Walt Disney World Resort di Orlando, Florida, Amerika Syarikat.

Dalam menghiburkan pengunjung dan kanak-kanak, semua watak dan karakter filem Disney sudah mereka bawakan ketika berkhidmat di pusat hiburan dan percutian terkenal itu.

Namun, jauh di sudut hati, mereka mengimpikan satu peluang yang besar untuk menonjolkan lagi bakat yang ada dalam diri mereka itu.

Benarlah kata pepatah lama. Tuah ayam nampak di kaki tetapi tuah buat manusia, hanya masa yang menentukan.

Begitulah diibaratkan dengan situasi yang dialami oleh Brooke Gibson dan Joel Santiago apabila ditawarkan membintangi pementasan teater muzikal, Disney's High School Musical: Summer Celebration!

Dan, bukan calang-calang watak yang mereka bawakan kerana masing-masing membawakan watak Gabriela Montez dan Troy Bolton yang sebelum ini pernah dibawakan oleh Vanessa Hudgens dan Zac Efron dalam tiga siri High School Musical (HSM) sebelum ini.

Untuk makluman, teater muzikal ini akan hadir ke Malaysia secara terus dari Amerika Syarikat bermula dari 1 hingga 6 Disember ini bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Apa yang menariknya tentang pementasan teater muzikal ini adalah ia merupakan gabungan tiga filem HSM yang pastinya memberikan satu pengalaman baru serta keterujaan buat peminat di Malaysia.

Sudah pasti, lagu-lagu yang ditampilkan akan menjadi tunjang utama kepada perjalanan teater muzikal ini dan lebih daripada 15 buah lagu akan ditampilkan yang merangkumi lagu-lagu popular daripada tiga filem tersebut.

Dalam satu temu ramah bersama media tempatan baru-baru ini, baik Brooke dan Joel masing-masing menyifatkan peluang yang diberikan oleh Feld Entertainment selaku penerbit sebagai peluang yang dinanti-nantikan selama ini.

Masakan tidak, kali ini mereka berpeluang menonjolkan bakat mereka di pentas yang lebih besar di samping membawakan watak-watak popular HSM.

"Memang tidak dinafikan, pengaruh HSM begitu kuat sehingga ia menjadi satu jenama yang sungguh besar di seluruh dunia.

"Bagi saya sendiri, untuk melibatkan diri dengan jenama hebat ini merupakan satu penghormatan yang tidak ternilai.

"Tidak sangka, bakat saya dinilai dan akhirnya saya dapat membawakan watak Gabriella yang merupakan watak kegemaran saya dalam senarai watak serta karakter ciptaan Disney," kata Brooke dalam nada teruja.

Sekadar berkongsi cerita, gadis berusia 19 tahun ini memberitahu pada mulanya dia hanya menemani teman baiknya menghadiri uji bakat untuk pementasan teater muzikal ini.

Tetapi, entah bagaimana hatinya tergerak untuk mencuba dan sememangnya rezeki berpihak kepadanya.

"Dapat melibatkan diri dalam pementasan ini memang memberikan satu pengalaman yang cukup berbeza kerana ia adalah sesuatu yang baru buat saya.

"Untuk menari dan menyanyi dalam masa yang sama memang benar-benar mencabar saya. Mujurlah saya ini juga peminat setia HSM dan pastinya saya tiada masalah untuk menghafal lagu-lagunya," ujarnya ramah sambil ketawa.

Ditanya tentang keserasiannya dengan Joel pula, Brooke dengan penuh jujur memberitahu, dia langsung tidak mempunyai masalah bergandingan dengan Joel.

Kerana katanya, Joel merupakan penari yang cukup hebat dan kerana dia memiliki latar belakang dalam bidang tarian, maka semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

"Untungnya mendapat Joel sebagai pasangan apabila dia banyak membantu saya untuk memantapkan lagi pergerakan serta persembahan saya," katanya yang dilahirkan di Tulsa, Oklahoma, itu lagi.

Sementara itu, bagi Joel pula, pada awalnya sewaktu ditawarkan watak Troy, dia sedikit bimbang dengan penerimaan penonton.

Maklumlah untuk seorang yang bukan anak jati Amerika membawakan watak yang dianggap besar itu, sedikit sebanyak membuatkan Joel sedikit ragu pada mulanya.

"Tetapi, selepas membuat persembahan di Amerika Syarikat dan beberapa buah negara selepas itu, mereka boleh menerimanya dengan terbuka.

"Saya fikir apa yang penting adalah tanggungjawab dan peranan saya sebagai seorang penghibur dalam memberikan persembahan terbaik kepada penonton," kata Joel yang dilahirkan di Carolina, Puerto Rico itu bersemangat.

Pementasan teater muzikal ini bagi Joel telah mengubah dirinya untuk menjadi seorang penari dan penyanyi yang baik.

Baginya, peluang yang tiba itu seharusnya diambil dalam membentuk dirinya untuk menjadi seorang penari dan penyanyi yang baik.

Meskipun mengakui penat dengan menjelajahi dunia menerusi pementasan hebat ini, tetapi apa yang pasti kata Joel, dia mendapat banyak pengalaman baru sepanjang tempoh itu.

Bukan itu sahaja, menjelajah ke seluruh dunia juga banyak membuka mata dan minda Joel untuk mendalami serta mempelajari budaya negara yang dikunjunginya itu.

"Jika mereka mahu meneruskan pementasan ini masa depan, sudah pasti saya mahu terus terlibat dan menghiburkan peminat serta penonton.

"Saya harap peminat di Malaysia akan terhibur dengan persembahan kami kelak dan kami memang sudah tidak sabar lagi untuk beraksi serta melihat sambutan penonton," ujarnya pengagum aktor hebat, Denzel Washington ini penuh mengharap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: