|
|
INI bukan kali pertama penulis bertemu dengan aktres jelita kacukan Melayu-Inggeris bernama Deanna Yusoff ini.
Masih segar dalam ingatan penulis sewaktu pertama kali mengadakan sesi fotografi bersama Deanna sekitar tiga tahun lalu bagi mempromosikan filem Chermin arahan Zarina Abdullah.
Dan, selepas tiga tahun, penulis menghubunginya sekali lagi untuk mengadakan sesi fotografi bersamanya, dia menyambutnya dengan senang hati sekali.
Sempat juga dia bertanya apakah yang mahu ditulis tentang dirinya sementelah dia melihat dan mengakui dirinya semakin kurang aktif dalam bidang seni.
Lantas penulis mengatakan Deanna Yusoff masih lagi mempunyai nilai berita yang tersendiri dan sudah pasti, masyarakat masih lagi mahu tahu tentang kisah jelitawan ini.
Usai sesi fotografi, perbualan kami pun dimulakan dan dengan pantas penulis bertanya ke manakah dia menghilang selepas kali terakhir dia muncul dalam filem Chermin.
Sambil tersenyum manis dan bagai menjangkakan soalan itu akan diajukan kepadanya, Deanna memberitahu dia masih wujud dan sama sekali tidak pernah menghilang.
Bukan itu sahaja, dia juga meningkah sesetengah dakwaan yang mengatakan dia merajuk mahupun berkecil hati dengan industri hiburan tempatan.
"Saya membesar dan mencipta nama dalam bidang seni di sini. Mana boleh saya lupakan begitu sahaja.
"Cuma kini kehidupan saya sudah berbeza kerana perlu menguruskan perniagaan yang baru saya mulakan awal tahun ini.
"Kerana itu juga, saya sudah semakin kurang aktif dalam bidang seni kerana mahu menumpukan fokus dan perhatian terhadap perniagaan ini," tuturnya lembut.
Bukan bidang fesyen mahupun kecantikan yang menjadi pertaruhannya. Sebaliknya, Deanna lebih selesa memilih coklat sebagai asas perniagaanya.
Menyambung bicara, Deanna memberitahu dia memulakan perniagaan coklatnya yang diimport dari Switzerland secara kecil-kecilan sejak tiga tahun lalu.
Apabila dia melihat sambutan yang diberikan oleh rakan-rakannya serta mendapat permintaan yang tinggi, barulah dia yakin untuk mengembangkan lagi sayap perniagaannya dengan menubuhkan syarikatnya, Artisanal Asia pada Mei tahun lalu.
Yakin dengan syarikatnya itu, hanya pada awal tahun ini Deanna meluaskan lagi perniagaan coklatnya yang bernama Grandjean Freres itu.
Ternyata percaturannya memilih perniagaan coklat ini tidak silap apabila ia semakin mendapat tempat dan perhatian masyarakat biarpun ia bukan boleh dibeli dari kedai seperti jenama coklat yang lain.
Wajah ceria dan gembira terpancar jelas di wajah jelitanya itu apabila respons yang diterimanya daripada khalayak cukup menggalakkan.
Kata Deanna, dia memang sudah lama mengidamkan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang berasaskan makanan.
Baginya, perniagaan berasaskan fesyen dan kecantikan sudah terlalu banyak di pasaran serta perlu berdepan dengan persaingan yang cukup besar dan sengit sekali.
"Apa yang boleh saya katakan, perniagaan coklat ini amat berbeza dengan mana-mana jenama coklat yang ada di pasaran kerana kami akan menghantarnya terus ke rumah.
"Memang saya akui harganya memang mahal tetapi saya tidak melihat ia sebagai satu kekangan untuk melangkah jauh dengan perniagaan ini.
"Selain itu juga, saya rasa sudah tiba masanya untuk kita mendidik dan mendedahkan kepada masyarakat tentang coklat yang berkualiti," ujarnya penuh bersungguh.
Saat ditanya ideanya untuk menceburi perniagaan coklat, Deanna memberitahu, semuanya timbul selepas dia dan ibunya berkunjung ke sebuah kedai kecil di sebuah daerah di Switzerland.
Uniknya coklat Grandjean Freres ini cerita Deanna, semuanya adalah dihasilkan sendiri oleh pemilik kedai itu secara tradisional.
"Kerana itu, saya fikir harganya setimpal dengan penat lelah pengusaha coklat itu selain saya harus fikirkan tentang kos penghantaran dari Switzerland ke Malaysia.
"Saya juga harus fikirkan tentang masalah lain yang boleh berlaku seperti kerosakan dan sebagainya sewaktu dalam perjalanan," cerita Deanna yang mula menempa nama menerusi filem Selubung pada tahun 1992 ini panjang lebar.
Grandjean Freres mempunyai dua seleksi di mana coklat-coklat tersebut akan dibungkus dalam kotak yang begitu eksklusif dan indah dalam bentuk yang berbeza.
Setakat ini kata Deanna, pihaknya hanya menawarkan tiga perasa sahaja iaitu rasberi, mocha serta oren mandarin.
Dan, sudah pasti Deanna akan mempelbagaikan lagi variasi coklatnya dalam pelbagai bentuk serta perasa di masa akan datang.
Bagi Truffle Rendez-vous Gift Box yang berharga RM188, pembeli boleh membuat pilihan dengan memilih tiga perasa yang ditawarkan dan setiap kotak mengandungi lapan biji coklat truffle.
Sementara itu, set Baby "G" Gift Box pula mengandungi empat biji coklat di mana peluang dibuka kepada pembeli untuk memilih sama ada mahu hanya satu jenis perisa atau mencampur perasa yang ada dalam satu kotak yang hanya berharga RM60 sahaja.
Caj penghantaran adalah percuma jika jumlah pembelian melebihi RM150 sahaja.
Tambah Deanna lagi, banyak lagi perancangan yang mahu dilakukannya menerusi syarikatnya selepas ini dan semuanya mahu dilakukan secara perlahan-lahan.
Tidak hanya coklat, kemungkinan besar juga Deanna akan mengimport pelbagai jenis makanan lain seperti jam, biskut serta barang hiasan rumah juga dari Switzerland.
Kerana itu juga, jelas Deanna dia tidak kerap berada di negara ini kerana perlu ulang-alik ke Switzerland semata-mata mahu menumpukan perhatian terhadap perniagaannya.
Tamat perbualan kami tentang perniagaannya, Deanna ditanya pula tentang perkembangan terbaru karier seninya.
Sepanjang 17 tahun bergelar anak seni, Deanna telah membintangi Selubung, Abang '92, Ringgit Kasorrga dan Chermin.
Malah, Deanna melakar kejayaannya tersendiri apabila menjadi pelakon Pan Asian pertama yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia pada tahun 1992 menerusi filem Selubung.
Jelas Deanna, biarpun kurang aktif berlakon tetapi dia masih lagi meneruskan bidang peragaan serta pengacaraan majlis di Singapura.
Bukan itu sahaja, walaupun sunyi dari sebarang publisiti, Deanna mengakui dia masih lagi menerima tawaran dan kawan baiknya, Hans Isaac juga ada menawarkan peluangnya berlakon.
Ujarnya, bukan sudah tidak minat berlakon tetapi susah untuk mendapatkan watak serta skrip yang bagus kerana dia tidak mahu kelihatan begitu klise di samping masa yang tidak mengizinkan.
"Semakin kita meningkat dewasa seharusnya ia membuat kita menjadi lebih matang tetapi saya melihat perkara itu tidak berlaku dalam industri.
"Sesuatu perlu dilakukan agar ia terus berkembang maju dan tidak hanya ditakuk lama sahaja," kata Deanna yang pernah berlakon dalam dua filem Perancis iaitu Un homme en colere (1999) dan Passeurs d'enfants (2001).
Malah, Deanna juga pernah bergandingan dengan Jodie Foster dan Chow Yun-Fatt dalam filem Anna And The King pada tahun 1999.
Dengan mengambil contoh, pelakon wanita yang berusia sering kali diberikan watak ibu atau nenek yang dilihat Deanna sebagai sesuatu yang harus diubah.
"Bukan tidak boleh tetapi ia sudah menjadi terlalu klise. Apa salahnya jika karyawan seni kita berfikir di luar kotak fikiran dengan menghasilkan skrip serta watak-watak yang kelihatan bijak.
"Lihat sahaja bagaimana Hollywood menghasilkan siri televisyen seperti Sex and the City dan Desperate Housewives yang menampilkan watak wanita matang dalam meniti kehidupan seiring dengan usia mereka.
"Bukan kita perlu mengikut sepenuhnya tetapi hasilkan ia dalam konteks kita sebagai orang Timur," ujarnya yang pernah membintangi drama lipur lara, Idaman di Astro Ria sedekad yang lalu.
Umum juga sedia maklum, wanita berbintang Capricorn ini pernah merakamkan dua album sebelum ini iaitu Divide and Continue (1995) dan Fix (1999). Tidakkah Deanna mahu terus merakamkan album?
"Sudah tentu saya mahu tetapi jika diberi peluang, saya mahu merakamkan album jazz kerana saya sedar kemampuan diri saya. Vokal saya bukan vokal yang komersial.
"Tetapi, bila bercakap tentang album, kita perlu fikirkan juga tentang keuntungan. Tidak boleh terlalu turutkan kata hati. Biarlah masa yang akan menentukan bila saya akan merakamkan album semula," katanya yang sempat membuat persembahan jazz di No Black Tie, Kuala Lumpur selama dua malam pada 6 dan 7 Oktober lalu.
Untuk mendapatkan maklumat tentang Grandjean Freres, bolehlah melayari laman sesawang www.grandjeanfreres.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: