SAN SALVADOR - Banjir dan tanah runtuh mengorbankan lebih 130 orang di El Salvador selepas Taufan Ida memusnahkan beberapa kawasan di Amerika Tengah sebelum menghala ke Amerika Syarikat (AS).
Hujan lebat yang dibawa Taufan Ida kelmarin turut menyebabkan sebahagian bandar Verapaz yang terletak 117 kilometer ke tenggara ibu kota negara berkenaan ditenggelami banjir lumpur, kata pihak berkuasa.
Ratusan askar, anggota polis dan penduduk menggali timbunan batu serta serpihan untuk mencari 60 orang yang masih hilang selepas banjir lumpur itu melanda semasa kebanyakan penduduk sedang nyenyak tidur.
"Hujan lebat berlaku pada kira-kira pukul dua pagi kelmarin menyebabkan tanah di sekitar lereng gunung berapi berhampiran bergegar," kata seorang mangsa, Matias Mendoza, 26.
"Saya memberi amaran kepada isteri saya dan memeluk anak lelaki kami. Tiba-tiba saya terbaring di antara timbunan serpihan dan lumpur," tambahnya.
Menurutnya, dia bersyukur kerana dapat menemui anak dan isterinya dalam keadaan selamat di tengah-tengah timbunan tersebut beberapa minit kemudian.
Hampir 7,000 orang mendapati rumah mereka rosak dalam kejadian tanah runtuh akibat banjir selepas hujan lebat berlaku selama tiga hari kerana tempias Taufan Ida.
Pengarah Perkhidmatan Perlindungan Awam, Jorge Melendez berkata, angka kematian meningkat kepada lebih 130 semalam berbanding 124 pada hari sebelumnya manakala lebih 10,000 orang dipindahkan ke tempat-tempat perlindungan.
Taufan tersebut melanda kawasan peranginan Cancun di Mexico, kelmarin sebelum bergerak ke Teluk Mexico, berhampiran AS.
Presiden El Salvador, Mauricio Funes mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan menyatakan bahawa beliau akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menilai tahap kemusnahan yang berlaku.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: