"KAMI sudah menjangka insiden buruk seperti ini akan berlaku. Sebab itulah kami membuat segala persiapan yang perlu bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku."
Demikian kata seorang sumber Stadium Nasional Bukit Jalil yang enggan namanya didedahkan kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, insiden pada perlawanan akir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan merupakan keganasan paling buruk pernah berlaku di Stadium Nasional.
Selain itu katanya, banyak kerosakan berlaku gara-gara tindakan penyokong Kelantan yang membakar kerusi di stadium berkenaan.
Menyedari kemungkinan itu katanya, pihak stadium telah membuat persiapan awal dengan mendapatkan kerjasama daripada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengawal keadaan.
"Ini adalah kejadian paling buruk dalam sejarah stadium itu sejak ia mula dibuka pada 1998," kata sumber tersebut.
Menurutnya, selain kerosakan, persekitaran stadium juga dipenuhi dengan sampah sarap.
Menurut sumber itu lagi yang yang kebetulan bertugas pada malam kelmarin, selain tempat duduk, trek di stadium juga mengalami kerosakan akibat terkena mercun.
"Ini adalah yang terburuk dalam sejarah selepas perlawanan akhir Piala FA tahun lalu. Kami memang menjangkakan perkara sedemikian akan berlaku, tetapi tidaklah sampai teruk begini."
Menurutnya lagi, stadium berkenaan kini ditutup untuk satu tempoh tertentu sementara kerja-kerja pembersihan dan siasatan untuk mengetahui jumlah kerugian sebenar dijalankan.
"Setakat ini, jumlah kerugian belum lagi diketahui dan apa yang saya nampak, mungkin tempat duduk yang rosak itu melibatkan kerugian antara RM40,000 hingga RM50,000," katanya.
Hari ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan melawat stadium berkenaan bagi melihat sendiri kerosakan serta membincangkan mengenai kerugian yang dialami oleh pihak stadium.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: