Monday, November 9, 2009

EPLx Kosmo! Football Fever 2009


PASUKAN Cipta FC merakam gambar kenangan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek (berdiri dua dari kiri). Turut kelihatan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak (berdiri dua dari kanan) dan Pengarah Eksekutif Intranet Profile, Kamal Effendi Hassan (berdiri kanan).





PASUKAN Cipta FC merangkul gelaran juara pada edisi sulung Kejohanan Futsal EPLx Kosmo! Football Fever yang berlangsung di Sports Planet Shah Alam semalam.

Cipta FC beraksi cemerlang setelah menewaskan Sri Kenanga FC 2-0 menerusi sepakan penalti pada perlawanan akhir yang disaksikan lebih 5,000 penonton.

Juara edisi sulung futsal EPLx Kosmo! Football Fever itu menerima hadiah wang tunai RM3,500.


BARISAN pemain yang mewakili pasukan selebriti pada EPLx Kosmo! Football Fever 2009.


Sri Kenanga yang menduduki tempat kedua menerima RM2,500 dan tempat ketiga dimenangi pasukan Brabus 'B' untuk menerima wang tunai RM1,500.

Perlawanan akhir berlangsung sebelum bermulanya perlawanan Liga Perdana England antara Manchester United dengan Chelsea yang disiarkan secara langsung menerusi skrin gergasi di Sports Planet Shah Alam.

Pengurus pasukan Cipta FC Mohamad Izuwan berkata, dia berpuas hati dengan mutu permainan yang ditunjukkan pemainnya sepanjang perlawanan itu.

"Pemain bermain mengikut apa yang dirancangkan dan kerja keras mereka telah membuahkan hasil apabila membantu pasukan memenangi kejohanan ini," katanya.

Sebanyak 64 buah pasukan menyertai kejohanan yang dianjurkan bersama Intranet Profile Sdn. Bhd. dengan akhbar kompak Kosmo!


PESERTA EPLx Kosmo! Football Fever sempat membaca akhbar Kosmo! ketika menunggu giliran untuk beraksi.


Turut disenaraikan dalam agenda karnival 15 jam EPLx Kosmo! Footbal Fever ini ialah perlawanan pertunjukan membabitkan pasukan yang diwakili selebriti tanah air menentang pasukan Kosmo! dan RTM.

Pasukan selebriti diwakili Akim AF7, Aril AF7, Hafiz AF7, Amylea AF3, Nine OIAM, Siti Saerah, Black Mentor, Roslan Shah dan Stacy.

Acara sampingan yang turut dianjurkan seperti pertandingan Sony PS3 yang dimenenagi Muzhafar Ahmad selepas menewaskan Khairil Anuar pada perlawanan akhir.

Edisi kedua EPLx Kosmo! Football Fever akan diadakan pada 30 Januari 2010 sempena perlawanan Arsenal menentang United diikuti United menentang Chelsea (3 April 2010) dan Liverpool bertemu Chelsea (1 Mei 2010).

Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak, Pengarah Eksekutif Intranet Profile, Kamal Effendi Hassan dan Pengarang Kosmo! Baharom Mahusin.

Sementara itu, Pengurus Projek, Mohammad Fauzi Abd. Manan ketika ditemui berkata, pihaknya tidak menyangka kehadiran pengunjung mencecah lebih 5,000 orang berbanding sasaran awal hanya 1,000 orang.


ANTARA aksi yang dipamerkan oleh pemain pada EPLx Kosmo! Football Fever di Sports Planet Shah Alam.


Katanya, bilangan pasukan yang bertanding pula terpaksa dibuka kepada 64 berbanding hanya 32 pasukan yang dicadang pada peringkat awal.

"Selain itu, bilangan peserta untuk pertandingan sampingan iaitu permainan konsol PS3 turut ditambah daripada 50 yang dicadang sebelum ini kepada 68 orang," katanya.

Mengulas lanjut, Fauzi memberitahu, bagi peserta yang tidak dapat menyertai pertandingan kali ini, mereka masih berpeluang untuk menyertai tiga lagi siri pertandingan selepas ini.

"Siri kedua akan diadakan di Sports Planet Subang pada Januari, ketiga di Kota Damansara (Februari) dan terakhir pada Mac di Ampang."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: