Monday, November 9, 2009

Hadiah paling istimewa


GELAGAT penyokong N. Sembilan pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kelmarin.


PIALA Malaysia menjadi hadiah paling istimewa sempena pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir pada 26 Oktober lalu.

Piala berprestij dalam kalendar bola sepak negara itu menjadi milik Negeri Sembilan selepas menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin.

Kejayaan itu menamatkan penantian selama 61 tahun selepas kali terakhir melakukannya pada 1948 dan penantian itu bersamaan dengan usia Tuanku Muhriz, 61.

Pastinya, kemenangan itu memberi erti yang cukup besar kepada peminat serta penyokong skuad Negeri Sembilan.


PEMAIN Negeri Sembilan, Shukor Adan (kanan) dinobatkan selaku Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2009 kelmarin.


Apa yang pasti, penyokong skuad Hoben Jang Hoben itu bakal menatap piala keramat itu dari dekat apabila ia akan mula diarak ke seluruh negeri ini minggu hadapan dalam sambutan secara besar-besaran.

Pada perlawanan akhir kelmarin, Negeri Sembilan berjaya meranapkan hajat Kelantan untuk membawa piala itu ke Pantai Timur menerusi jaringan pembukaan pada minit ke-18 oleh Shahurain Abu Samah, sebelum Hairuddin Omar menghasilkan gol kedua seminit selepas babak kedua berlangsung dan gol ketiga disempurnakan oleh Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak pada minit ke-59 melalui sepakan penalti.

Kelantan memperoleh jaringan lewat pada minit ke-90 melalui ketua pasukannya, Indra Putra Mahayuddin. Shukor Adan pula dinobatkan Pemain Terbaik perlawanan akhir.

Selepas 1948, Negeri Sembilan hanya mampu bergelar naib juara pada 2000 dan 2006 apabila tewas kepada Perak dan Perlis.


PEMAIN Negeri Sembilan meraikan kejayaan mereka menjulang Piala Malaysia selepas
mengalahkan Kelantan 3-1 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.


Namun, skuad Rusa kini dilihat semakin matang sehingga berjaya 'menutup mulut' penyokong-penyokong Kelantan yang penuh dengan provokasi dan emosi.

Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassaa berkata, kejayaan skuad kendaliannya itu adalah keserasian yang dipamerkan semua pemain serta keyakinan mereka mengawal keadaan selain menyempurnakan dengan baik peluang yang terhidang.

"Saya sentiasa mengingatkan kepada pemain agar sentiasa fokus kepada permainan kerana ia akan membantu meningkatkan keyakinan.

"Saya berbangga dengan kejayaan ini, apatah lagi kita telah memberikan satu hadiah paling bermakna kepada Tuanku Muhriz, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan, penyokong skuad Hoben Jang Hoben serta seluruh rakyat negeri ini," kata jurulatih yang berasal dari Johor itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: