SHAH ALAM - PS Poly Plastic (M) Sdn. Bhd. (Poly Plastic), pengeluar pelbagai jenis pek pembungkusan plastik, optimis terhadap segmen pembungkusan fleksibel untuk produk cecair yang diceburinya sejak awal tahun ini mampu menyumbang 80 peratus kepada pendapatan syarikat dalam tempoh setahun akan datang.
Pengarahnya, Adilah Shuib berkata, pencapaian tersebut bakal dicapainya memandangkan produk berkenaan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada syarikat multinasional, korporat dan juga usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Menurut beliau, IKS merupakan pelanggan terbesarnya yang kini menguasai 85 peratus daripada keseluruhan pelanggannya.
Jelasnya, segmen ini turut membabitkan pengeluaran beg plastik keselamatan yang digunakan di lapangan terbang untuk pembungkusan botol cecair yang dibenarkan.
"Bagi saya potensi untuk pek pembungkusan fleksibel bagi produk cecair adalah besar.
"Menyedari hal itu, kami turut menyediakan bermacam-macam jenis bungkusan yang bersesuaian untuk produk cecair yang berkualiti dengan rekaan terkini bagi memenuhi keperluan pengilang dan juga pengguna," katanya ketika ditemui di kilangnya yang terletak di Seksyen 16 di sini baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: