Thursday, November 12, 2009

Penghijrahan dua beradik sensasi


KHLOE (kanan) dan kakaknya, Kourtney sudah bersedia mensensasikan diri mereka menerusi rancangan Kourtney And Khloe Take Miami yang akan ditayangkan malam ini.


TIDAK dinafikan, rancangan realiti Keeping Up With The Kardashians telah mencetuskan satu fenomena baru dalam penerbitan rancangan realiti televisyen di Hollywood.

Rancangan yang memaparkan kehidupan keluarga seorang peguam tersohor, Robert Kardashian itu sememangnya telah menjadi buah mulut orang ramai.

Bukan dari sudut positif, sebaliknya rancangan itu telah menjadi perdebatan dan polemik apabila ia dikatakan memberi impak negatif kepada penonton.

Kerana itu jugalah, rancangan realiti itu hanya mampu bertahan selama tiga musim sahaja bermula dari 14 Oktober 2007 sehinggalah ia ditamatkan pada 9 Mei lalu.

Impak daripada rancangan itu juga telah berupaya melonjakkan nama serta populariti dua 'bintang' utamanya iaitu Kim dan Khloe Kardashian.

Begitu hebat penangan rancangan itu sehingga mereka kini menjadi buruan media dan paparazzi di Hollywood.

Bagi Khloe, biarpun ramai yang mencemuh diri dan keluarganya ekoran daripada rancangan tersebut, tetapi dia langsung tidak mempedulikan apa yang diperkatakan orang.

Katanya, sudah menjadi adat untuk sesebuah rancangan realiti yang mampu menghiburkan penonton dan masyarakat.

Namun begitu, jelas Khloe, biarpun ada yang mencebik dan mengkritik, dia tetap mendapat respons daripada penonton yang sukakan rancangan itu.

"Seperti rancangan realiti yang lain, ia diterbitkan untuk menghiburkan orang ramai dan begitu juga dengan Keeping Up With The Kardashians.

"Rancangan itu bukannya sebuah program yang serius dan saya berlakon pun hanya sekadar suka-suka sahaja.

"Saya melakukannya kerana ada permintaan yang mahu merakamkan aksi-aksi saya bersama keluarga saya dan mampu untuk membuatkan saya ketawa apabila menontonnya.

"Kalau ada yang tidak suka, jadi tiada sebab untuk anda terus menontonnya," tegasnya dalam satu temu ramah bersama media tempatan baru-baru ini.

Untuk meneruskan legasi seninya sebagai seorang bintang realiti, Khloe kini bersedia untuk menggegarkan kaca televisyen dengan rancangan realiti terbarunya, Kourtney And Khloe Take Miami.

Masih lagi diterbitkan oleh produksi yang sama menghasilkan Keeping Up With The Kardashians, rancangan sensasi ini akan mula ditayangkan malam ini (12 November) menerusi E! (saluran 712, Astro).

Kali ini, Khloe dan kakaknya, Kourtney akan berhijrah ke Miami dari Los Angeles untuk mencari peluang perniagaan di sana bagi meluaskan lagi empayar fesyen mereka, DASH.

Selain itu, program ini juga akan memperlihatkan bagaimana gelagat Khloe dalam membahagikan masa sebagai seorang ahli perniagaan dan juga penyampai radio.

Kerenah dan gelagat

Menyifatkan Kourtney And Khloe Take Miami sebagai sebuah rancangan yang cukup berbeza daripada sebelumnya, paparan kali ini jelas Khloe, akan menjadi lebih dramatik dan seronok untuk ditonton.

"Penonton akan dapat melihat kerenah dan gelagat kami bagaimana hendak membuka kedai bagi perniagaan kami.

"Selain itu, rancangan ini akan menonjolkan perkara-perkara baru yang pastinya akan membuatkan penonton teruja," ujarnya yang mengakui agak tertekan untuk membuka butik pertama Dash di Miami kerana kurang pendedahan dan pengalaman di kota itu.

Saat ditanya adakah ahli keluarganya yang akan membuat kemunculan dalam siri, Khloe mengatakan kakaknya, Kim akan muncul untuk dua episod.

"Adik saya, Robert George Kardashian, Jr. juga akan muncul dalam beberapa episod selain kawan-kawan kami.

"Apa yang pasti, ibu dan adik-adik saya yang lain tidak akan membuat kemunculan mereka dalam rancangan ini," katanya yang turut meluahkan kerinduan terhadap keluarganya sejak berhijrah ke Miami untuk rakaman siri ini.

Bagi penerbitnya, Ryan Seacrest pula berpendapat rancangan ini tidak hanya sekadar memberikan hiburan semata-mata.

Tetapi juga katanya, ia memaparkan perit jerih dua beradik itu dalam mencapai impian dan cita-cita mereka untuk terus menjadi ahli perniagaan yang berjaya.

"Memang menyeronokkan untuk kembali bekerja dengan mereka dan bekerjasama sekali lagi bersama E! Entertainment.

"Jika mereka yang menggemari dan mengikuti program Keeping Up With The Kardashians, pasti akan teruja dengan siri ini.

"Ini kerana ia memaparkan keletah dan kelucuan serta keluhuran mereka dalam program ini yang tidak sepatutnya dilepaskan," kata Ryan yang juga pengacara rancangan realiti, American Idol yang menerbitkan rancangan ini menerusi syarikatnya, Ryan Seacrest Productions.

Pastikan anda tidak melepaskan peluang menonton Kourtney And Khloe Take Miami yang akan mula ditayangkan secara eksklusif di E! (saluran 712, Astro) pukul 10.20 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: