Freddie Fernandez |
JIKA diperhatikan, negara ini memang kurang menghasilkan filem tarian. Maklumlah, tarian bukanlah kegilaan utama kalangan remaja negara kita berbanding nyanyian. Tetapi, sejak beberapa dekad lalu, apabila tarian breakdance, diikuti hip hop dan sebagainya muncul, barulah kegilaan itu ada kalanya terserlah.
Sayang You Can Dance muncul filem tarian yang terakhir menemui penonton di panggung. Filem itu pula tidak berapa berjaya ketika ditayangkan, walaupun hadir dengan pelakon muda yang dianggap popular seperti Samuel Rizal, Sharifah Amani, Ebi, Dafi dan lain-lain.
Namun, keadaan itu tidak menghalang orang kuat industri seni, Datuk Freddie Fernandez untuk muncul bersama projek filem tariannya sendiri. Selepas berhempas pulas dalam dunia muzik, Freddie nampaknya kini ingin melangkah pula ke dunia perfileman. Lelaki berusia 56 tahun dari Segamat itu mungkin perasan, filem kini lebih mendapat tempat di hati peminat.
Khabarnya, filem tarian yang bakal dihasilkan Freddie itu mempunyai sedikit persamaan dengan Step Up yang ditayangkan di sini tidak lama dulu. Kononnya, Freddie yakin filem sebegitu mampu menarik minat ke panggung, berikutan tidak banyak judul sedemikian dihasilkan di negara kita.
Dia percaya, tarian mampu menarik minat penonton ke pawagam, jika ia disajikan dalam bentuk lebih mencabar. Justeru, kini dia sibuk mencari formula terbaik dalam menghasilkan filem pertamanya.
Bagi Cik Normah, usaha Freddie ini, kalau betullah sebagaimana yang disampaikan seorang rakan, patut mendapat sokongan. Dengan syarat, aksi tarian yang dipaparkan dalam filem itu nanti, biarlah nampak benar. Cik Normah paling benci kalau nama saja filem tarian, tetapi babak menari yang dimasukkan, sebenarnya takat ala kadar.
Cik Normah pernah menonton sebuah filem negara jiran tak lama dulu. Kononnya mereka hendak menjual tarian menerusi filem itu, tetapi melihat kepada hasilnya, memang lebih cantik poster daripada filem. Kalau menari takat ‘gitu-gitu’, baik langsung tidak payah. Buat malu Cik Normah saja. Rasanya, gerak langkah Cik Normah jauh lebih cantik berbanding persembahan pelakon dalam filem itu.
Sewaktu pemilihan pelakon nanti, baik cari mereka yang mempunyai pengalaman dalam tarian. Paling tidak, sedap sikit mata melihat gerak tarinya, tidaklah keras macam pokok kelapa. Tarian pula, biarlah direka dengan memasukkan elemen kekaguman. Maknanya, biar ada langkah yang ala mustahil hendak ditiru, barulah ada umph!
Lagi satu, filem tarian memang tak boleh lari daripada elemen muzik yang menarik. Cik Normah yakin, Freddie sudah pun awal-awal memikirkan hal itu. Maklumlah, dia kan orang muzik. Lagi berdentum muzik yang mengiringi babak menari, lagi syok penonton di kerusi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: