Friday, November 20, 2009

Irama warisan kita bergema di DFP


KONSERT Irama Warisan Kita bakal menyaksikan gabungan tenaga lama dan baru seperti (dari kiri) Awal, Deborah, Johari, Aishah dan Lah, manakala di kanan sekali, Karina.

Aishah, Lah Ahmad diberi penghargaan untuk memperdengarkan lagu ciptaan komposer tempatan diiringi MPO

IRAMA klasik dan tradisional Melayu sememangnya memerlukan pembelaan sekiranya ia ingin diwariskan kepada generasi akan datang. Seandainya tiada usaha untuk terus mempromosikan lagu terbabit kepada golongan lebih muda, lama-kelamaan ia mungkin hilang ditelan zaman.

Lalu, pelbagai langkah yang diambil agensi kerajaan mahupun swasta dalam mengekalkan warisan budaya bangsa itu harus dipuji. Sama ada menggalakkan bakat muda mengalunkan semula irama berkenaan, menganjurkan pertandingan mencipta lagu asli atau peraduan nyanyian lagu itu, semuanya antara usaha awal yang patut dipergiatkan lagi.

Ketika yang sama, langkah membawa irama berkenaan ke tahap lebih tinggi sebagaimana dilakukan Dewan Filharmonik Petronas yang bakal mempersembahkan lagu klasik dan malar segar negara pada Irama Warisan Kita dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), dari 11 hingga 13 Disember ini juga sewajarnya mendapat sokongan padu.

Dewan yang sentiasa gah dengan alunan muzik komposer hebat dari Barat itu kali ini akan bertukar suasana apabila irama indah seperti Seri Mersing, Tudung Periuk dan Cindai dipersembahkan. Bermakna, bukan hanya karya Beethoven, Rachmaninov, Tchaikovsky, mahupun Bartok yang berkumandang di dewan ini, bahkan ilham cipta Kassim Masdor, Yusof B, Syed Haron dan Pak Ngah juga berupaya didengar sama di dalamnya.

Suatu pencapaian yang membanggakan untuk melihat lagu warisan negara itu akhirnya diperdengarkan dalam dewan yang cukup berprestij. Lebih-lebih lagi, ia dipersembahkan kumpulan orkestra yang sudah sedia maklum mempunyai kedudukan yang tinggi dalam hierarki muzik.

Membanggakan juga apabila orkestra terbabit bakal dipimpin komposer yang juga penggubah lagu terkenal tanah air, Datuk Johari Salleh. Manakala dua artis tempatan, Aishah dan Lah Ahmad akan muncul di pentas sebagai penyanyi jemputan. Bagi menambahkan warna pada acara itu, Awal Ashaari yang cukup dikenali menerusi program One In A Million dan Sehati Berdansa, bakal bergandingan dengan bekas Ratu Malaysia, Deborah Priya Henry sebagai pengacara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DFP, Karina Ridzuan, persembahan yang menggabungkan bakat profesional dan amatur itu diharap mampu menjadi pemangkin kepada usaha menggalakkan lebih ramai generasi baru menghargai seni warisan budaya kita, yang tidak terkesan dengan peredaran masa.

DFP sendiri membuat percaturan yang rapi dengan menghimpunkan lagu terbaik, insan seni berpengalaman serta bakat baru yang dikenali untuk menjayakan lagi program ini.

Johari pula berkata, peluang diberikan DFP untuk memimpin kumpulan orkestra berkenaan adalah penghargaan yang cukup tinggi buatnya. Apatah lagi, MPO, pada tanggapannya ialah antara kumpulan orkestra terbaik pernah dimiliki negara ini.

"Saya sendiri menggubah dua lagu untuk dipersembahkan pada konsert ini. Gema Nadi Budaya menggabungkan tiga lagu malar hijau ciptaan komposer tempatan iaitu Mega Mendung, Pandang Pandang Jeling Jeling dan Joget Hitam Manis, manakala overture pula bakal menyaksikan pemuzik MPO memainkan buat julung kalinya irama etnik dari Sabah," kata Johari pada majlis sidang akhbar di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, negara ini mempunyai beribu-ribu lagu Melayu klasik yang diwarisi sejak sekian lama. Namun, pada persembahan itu, hanya beberapa irama yang dikira mampu mewakili tema konsert dapat dipersembahkan termasuk Bahtera Merdeka, Pahlawanku, Warisan dan Joget Kenangan Manis.

Tidak dilupakan ialah dua lagu hasil ciptaan seniman agung Tan Sri P Ramlee, Getaran Jiwa dan Tunggu Sekejap. Lagu Hijau ciptaan komposer era terkini, Mukhlis Nor yang dinyanyikan Zainal Abidin akan turut dialunkan pada tiga malam persembahan itu oleh Lah.

Aishah yang mempopularkan kembali lagu Bahtera Merdeka beberapa tahun lalu memberitahu, sudah sekian lama dia mengidamkan persembahan di dewan berprestij itu.

"Jadi, peluang yang diberikan kepada saya umpama mimpi yang menjadi nyata. Begitupun, ia bukan datang dengan mudah kerana cabaran mengadakan persembahan bersama orkestra juga bukan mudah. Kita perlu mempunyai tumpuan yang lebih apabila diiringi muzik sebegini. Maknanya, walaupun ada lagu yang bakal saya nyanyikan nanti sudah biasa dipersembahkan, sama ada dengan iringan kumpulan muzik atau menggunakan minus one, tetapi bersama orkestra, cabarannya amat berbeza," ujar bekas penyanyi utama The Fan Club ini.

Pada masa yang sama, Aishah juga berharap kerjasama julung kali diadakan bersama DFP itu tidak menjadi kemunculannya yang terakhir di dewan terbabit.

Bekas anggota kumpulan V.E, Lah, pula mengaku agak gementar kerana baru kali pertama berpeluang menyanyi diiringi MPO, di dewan berkenaan. Bagaimanapun dia amat berbangga apabila DFP memberikannya ruang untuk membolehkan dia sama-sama menonjolkan keupayaan pada konsert itu.

"Saya juga amat berbesar hati apabila persembahan itu nanti bakal menyaksikan kami mengalunkan irama klasik tanah air," kata Lah yang menjanjikan persembahan terbaiknya sewaktu menyanyikan lagu Hijau dan Warisan.

Konsert itu akan menyaksikan kolaborasi pertama MPO bersama Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: