Friday, November 20, 2009

'Tiada isu dengan AC'


Hans Isaac

Hans Isaac dakwa apa yang berlaku adalah salah faham semata-mata

TEATER Cuci The Musical yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, sudah pun menutup tirainya dua minggu lalu. Namun 'drama' belakang tabir yang membabitkan dua pelakonnya iaitu Hans Isaac dan AC Mizal masih terus berlanjutan sehingga kini. Semua ini terjadi gara-gara kononnya Hans ada mengeluarkan kenyataan mempertikaikan komitmen AC terhadap teater terbitannya itu.

Lebih mengeruhkan keadaan dan membuatkan AC semakin terasa hati apabila Hans dikatakan menjadi dalang yang menghalang gerainya dari terus beroperasi ketika teater terbabit baru beberapa hari dipentaskan. Tindakan itulah yang menambahkan lagi bara di hati pengacara Akademi Fantasia itu sehingga dia nekad membuat keputusan untuk berkerat rotan dan berpatah arang dengan Hans yang juga sahabat baiknya itu.

Memang mengejutkan apabila AC sanggup membuat keputusan sebegitu sedangkan semua orang tahu hubungannya dengan Hans bagai isi dengan kuku. Malah ikatan persahabatan mereka itu dilengkapi dengan kehadiran Awie dan Afdlin Shauki yang masing-masing cukup serasi serta saling memahami antara satu sama lain. Namun, hanya disebabkan terlanjur kata, hubungan itu berubah menjadi dingin.

Jika benar apa yang didakwa AC itu Hans bagaikan seorang kawan yang kejam apabila secara terangan mempertikaikan komitmen AC sedangkan pelakon itu mendakwa, dia rela bergadai nyawa asalkan produk sulung Hans itu berjaya di mata khalayak? Bagaimanapun, sewaktu Hip cuba mendapatkan komen balasnya mengenai dakwaan AC semalam, Hans berkata apa yang berlaku adalah salah faham semata-mata.

"Terus-terang saya katakan, saya tidak pernah mempertikaikan komitmen AC dalam teater muzikal terbitan syarikat saya ini. Bukan saja komitmen AC tetapi juga pelakon lain. Jika ada yang bertanyakan mengenai komitmen yang ditunjukkan pelakon, saya lebih senang mereka bertanyakan sendiri hal ini kepada mereka.

Teater Cuci The Musical bakal ke Singapura.

"Dalam hal AC ini, pada saya tidak ada isu pun. Saya memang tak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mempertikaikan komitmennya. Semua itu berlaku apabila wartawan terbabit mendapati AC tiada di lokasi ketika dia datang membuat liputan. Apa yang dia nampak, tempat AC diganti oleh Reefa, pelakon understudy untuk watak C'Tan yang didukung AC dalam teater itu.

"Justeru, apabila cerita itu tersebar di internet, apakah itu salah saya? Dan apa yang saya tahu, wartawan terbabit ada menelefon AC dan menghantar SMS kepada AC menjelaskan keadaan sebenar. Mungkin AC tak baca kenyataan wartawan terbabit dan terus menganggap saya yang membuat kenyataan itu untuk memburukkan reputasinya," katanya ketika dihubungi petang kelmarin.

Mengenai dakwaan AC kononnya Hans menghalang gerainya dari terus beroperasi, jejaka tinggi lampai ini menafikan dia bertindak sebegitu.

"Saya tidak pernah menghalangnya dari membuka gerai di situ. Cuma apa yang saya minta adalah, dia perlu mendapatkan permit dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membuka gerai di situ. Saya berbuat begitu kerana tidak mahu berlaku kekecohan di kemudian hari sehingga mengganggu pementasan yang sedang berlangsung.

'Namun permintaan saya itu disalah anggap AC dan dia sendiri membuat keputusan untuk menutup gerai itu. Lagipun, pada masa itu AC meletakkan gerainya di kawasan larangan dan kedudukannya lebih tinggi dari gerai yang dikhaskan untuk penaja. Apabila mereka (penaja) membuat aduan, saya perlu mengambil berat aduan itu dan memaklumkan padanya. Malangnya AC tidak dapat menerima hal itu," cerita Hans lagi.

Sebagai sahabat, jelas Hans dia tidak pernah membezakan semua pelakonnya dan setiap mereka mendapat layanan sama rata. Justeru apabila cerita seperti ini diperbesarkan, dia merasa amat sedih.

Sepanjang berada di lokasi terbabit, Hans mengakui dia dapat merasakan yang mereka berdua memang mempunyai masalah komunikasi. Namun, dia menafikan dirinya menjadi punca.

"Setiap kali selesai pementasan, saya lihat dia sendiri yang cuba mengasingkan diri. Habis saja tugas, dia akan pergi ke bilik persalinan untuk menukar baju dan terus pulang ke rumah. Kadang-kadang dia memberi alasan untuk ke hospital, jadi bila masanya untuk kami berbual?," kata Hans.

Pun begitu, walaupun AC ada terlepas cakap yang dia tidak akan berlakon di bawah produksi pada masa akan datang, Hans berkata dia tetap bersikap profesional dan tak akan mengambil hati dengan kata-kata itu.

"Saya tetap akan mengundangnya jika teater ini dipentaskan semula pada masa akan datang. Apa yang saya tahu, saya memang tak ada salah dengannya dan sebagai pelakon asal teater itu, saya tetap akan menawarkannya berlakon. Terpulang padanya sama dia mahu menerimanya atau tidak," tutur Hans merendah diri.

Cuci ke seberang tambak

MENGIKUTI jejak langkah teater muzikal yang sedia ada, dalam nada teruja, Hans menjelaskan Cuci The Musical juga bakal dipentaskan di Esplanade, Singapura tahun depan.

"Ada tawaran dari pihak sana yang mahukan kami mementaskan Cuci di Esplanade. Dan selepas Singapura, teater ini juga akan kembali ke Istana Budaya. Rasa seronok kerana usaha saya ini mendapat perhatian pihak Esplanade dan berjaya menarik minat mereka untuk mementaskan buat penonton di sana. Sekarang ini perbincangan sedang dilakukan ke arah itu.

"Saya juga gembira kerana Cuci berjaya menarik minat pelbagai golongan termasuk pemimpin tanah air. Puas rasa hati apabila Tun Dr Mahathir dan Pak Lah memuji teater ini dan sokongan mereka itu memberikan saya semangat untuk membuat lebih baik pada masa hadapan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: