Thursday, November 19, 2009

Beri terbaik buat peminat


SUDAH agak lama tidak mendengar cerita baru mengenai perkembangan karier seni penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat. Apatah lagi, selepas mengeluarkan album ketiga, Syyh pada 2001, karier seni Syafinaz, 36, dilihat agak perlahan.

Malah, wanita tinggi lampai ini lebih memberi fokus kepada kerjayanya sebagai pensyarah vokal di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan juri program realiti. Biarpun begitu, sebelum ini, Syafinaz ada menyatakan niatnya untuk kembali bersama album baru sebagai hadiah buat peminat setia.

Kini sudah menjangkau hampir sembilan tahun, kehadirannya pada majlis pelancaran album Dennis Lau, baru-baru ini, Syafinaz sedia berkongsi cerita baru mengenai pembikinan album barunya.

Akui Syafinaz, setiap kali membuat persembahan atau pergi ke mana-mana, pasti ada yang bertanya bila album barunya akan keluar. Malah, ada juga yang menyangka dia tidak berminat menghasilkan album baru disebabkan faktor pasaran album yang agak lembap ketika ini.

"Saya cukup terharu kerana sama sekali tidak menyangka masih mempunyai ramai peminat. Untuk pengetahuan semua, proses album keempat itu tidak pernah terhenti atau dibatalkan. Ia masih diteruskan hingga saat ini.

"Sejujurnya, saya seorang yang amat cerewet berkaitan pemilihan lagu dan penyusunan muzik. Disebabkan itu, ia mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan kerana saya ingin beri yang terbaik. Lagipun, mustahil saya tampil dengan album yang sekadar menghiasi karier seni tetapi kualitinya langsung tiada.

"Alang-alang sudah buat album baru, biarlah saya buat sebagus mungkin. Apatah lagi, album baru ini menampilkan konsep yang jauh berbeza berbanding sebelumnya. Menariknya, dalam album baru saya ini, ia menampilkan gabungan muzik fusion, klasikal, kontemporari dan pop.

"Album kali ini saya gunakan susunan muzik orkestra untuk memberi keunikan. Mungkin ada yang tidak gemar kerana saya tahu peminat muzik tempatan agak sukar menerima genre muzik sebegini. Namun, saya harap penerimaan positif daripada semua," katanya.

Kata Syafinaz, dalam album ini akan dimuatkan lagu The Queen's Aria yang dinyanyikan dalam bahasa Jerman. Lagu itu diambil daripada lagu asal, Der Holle Rache Kocht In Meinem Herzen ciptaan Mozart yang dipentaskan dalam pementasan Opera The Magic Flute pada 1971.

"Beberapa lagu lain ciptaan Mozart juga diambil dan diberikan penyusunan muzik baru dalam versi moden supaya bersesuaian dengan konsep pembaharuan album kali ini.


"Lagu berbentuk klasik dari negara barat memang sukar diterima dalam pasaran negara ini. Disebabkan itu, saya menyuntik elemen fusion dan moden dalam muzik klasik itu agar diterima ramai.


"Apabila saya menyatakan hasrat ini, ada yang kata ia sukar dijual. Tetapi saya buat album kerana kepuasan diri dan tidak kisah apabila orang label saya 'syok sendiri'. Saya hairan apabila orang kata muzik sebegini tidak boleh dijual.


"Sebenarnya, banyak persembahan yang saya jayakan menginginkan saya menyanyi lagu berbentuk sebegini. Kalau orang pertikaikan muzik ini hanya untuk golongan elit, sebenarnya tidak. Saya juga terkejut dengan sambutan penonton ketika menjayakan persembahan pentas sebelum ini di luar bandar.

"Dengan kehadiran album ini nanti, saya berharap ia memberikan kepuasan berbeza kepada saya dan peminat walaupun terpaksa menunggu lama," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: