LAKONAN cemerlangnya dalam filem 200 Pounds Beauty empat tahun lalu, menjadi 'kayu pengukur' buat aktres jelita Korea, Kim Ah-Joong. Siapa sangka, bukan sekadar berwajah manis, tetapi gadis ini memiliki bakat besar sebagai pelakon pelapis berjaya. |
Namun, tidak sewenang-wenangnya menerima watak, Kim seorang yang pemilih. Tidak seperti aktres seusianya yang lain, si comel kelahiran Seoul, Korea Selatan ini lebih selesa berlakon dalam drama atau filem yang diyakini membawa impak kepadanya.
Justeru, sejak aktif berlakon sekitar 2004 hingga kini, Kim akan menerima watak yang dirasakan berkesan dalam lakonannya. Oleh itu, hampir enam tahun terbabit dalam industri lakonan Korea, kemunculan Kim di layar perak dan skrin TV boleh dikira.
Setakat ini, dia hanya berlakon dalam tiga filem iaitu 200 Pounds Beauty pada 2006, When Romance Meets Destiny (2005) dan Who's Got The Tape? (2004). Manakala drama pula, Emperor Of The Sea (2004), Our Attitude To Prepare Parting (2005), Bizarre Bunch (2005) dan That Fool/ The Accidental Couple (2009).
Kim berkata, memang sikapnya cerewet dan memilih. Jadi, tidak dinafikan perkembangan lakonan juga agak terhad apabila hanya beberapa filem dan drama dihasilkan. Namun, akuinya dia tidak pernah kecewa kerana sangat mengutamakan kualiti.
"Saya sedar tidak aktif seperti pelakon lain berdasarkan pencapaian diperoleh. Bagaimanapun, itu bukan perkara utama kerana saya tidak kisah mengenai popular. Bagi saya, memilih itu wajar jika inginkan watak berkesan yang tidak bodohkan diri.
"Bukan itu saja, saya juga tidak mahu terikat dengan karakter tertentu kerana sebagai pelakon saya perlu sedia mencuba dan sahut cabaran. Disebabkan itu, saya menyenangi langkah yang dilakukan sekarang ini kerana tidak mahu terburu-buru.
"Dalam diri saya sentiasa mahu menjadi pelakon terbaik. Oleh itu, tiada jalan pintas untuk mengecapi kejayaan melainkan usaha dan yakin. Justeru, biarlah penonton yang menilai bakat lakonan saya kerana itu yang sepatutnya dan tanggungjawab mereka.
"Prinsip hidup saya mudah, berdisiplin dan kenal hala tuju, hidup pasti berjaya. Sehubungan itu, saya tidak gentar beraksi dalam 200 Pound Beauty walaupun tahu akan berhadapan kontroversi. Menerusi filem itu, tingkah laku saya dipandang sinis," katanya.
Berusia 27 tahun, Kim berkata masyarakat memandang serong padanya kerana keputusan dibuat Kang Han-Na, watak yang dilakonkan dalam filem itu sanggup melakukan pembedahan kosmetik. Demi cinta, wanita sanggup berkorban apa saja.
|
"Tidak dinafikan, saya dikecam hebat apabila masyarakat beranggapan saya betul-betul melakukan pembedahan kosmetik itu. Hakikatnya, tidak sekali-kali saya mengambil langkah itu kerana diri sudah memang kurus. Jadi, saya mahu bagaimana lagi?
|
"Namun, biarlah semua anggapan itu kerana hanya saya yang mengetahui kebenarannya. Sekalipun saya dikecam, tawaran berlakon tetap diterima. Begitu juga dengan lakonan dalam drama bersiri The Accidental Couple. Saya sukakan cabaran," katanya.
Menyentuh soal penjagaan kecantikan wajahnya, Kim mengakui cukup teliti dengan rawatan muka. Katanya, dia tidak selalu berkunjung ke pusat rawatan, hanya pergi apabila perlu. Selebihnya, Kim memaklumkan dia lebih senang kerap membasuh muka.
"Pembersih muka tetap pilihan utama saya, tetapi rawatan juga perlu. Apapun, saya bukanlah gadis yang suka berkunjung ke pusat kecantikan setiap masa. Bagi saya, terapi paling baik untuk kesihatan wajah adalah luangkan masa berehat di rumah.
"Secara tidak langsung, ia menjauhkan wajah daripada terdedah dengan sinaran matahari. Bahkan, faktor cuaca yang kurang baik sekarang ini memaksakan aktiviti di luar terhad. Apapun, demi kesihatan inilah diri dan rutin kehidupan harian saya.
"Sebagai manusia, sikap berhati-hati sangat penting. Bukan sekadar sesama manusia, tetapi alam sekeliling. Oleh itu, sesiapa yang tidak mengenali saya, mereka takkan faham. Terus terang, cara saya menguruskan diri agak pelik tetapi itu yang selesa," katanya.
Memiliki identiti diri tersendiri, Kim jelas seorang yang tegas dan cukup memahami kehendak dirinya. Bagi gadis ceria ini, apa masyarakat hendak kata mengenainya terpulanglah, kerana tiada apa yang lebih sempurna buatnya melainkan menjaga keperibadian diri.
>Profil
NAMA: Kim Ah Joong
NAMA KOMERSIAL: Kim A Joong
TARIKH LAHIR: 16 Oktober 1982
USIA: 27 tahun
ASAL: Seoul, Korea Selatan
KARIER: Model, penyanyi, pelakon
AKTIF SENI: Sejak 2004
SIRI DRAMA: Antaranya That Fool/The Accidental Couple (2009), Bizarre Bunch (2005), Our Attitude To Prepare Parting (2005) dan Emperor Of The Year Title Role
FILEM: Antaranya 200 Pounds Beauty (2006), When Romance Meets Destiny (2005) Who's Got The Tape? (2004)
LAGU POPULAR: Antaranya Beautiful Girl, Maria dan Like A Fool
PENCAPAIAN: Aktres Baru Terbaik KBS Drama Awards (2005), 42nd Paeksang Arts Awards: Most Popular (2006), 3rd Rising Star Awards (2007), Aktres Terbaik Filem di 44th Grand Bell Awards (2007), Aktres Terbaik/Popular di 4th Best Film Awards (2007) dan 6th Digital Music Award (2007)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: