Thursday, November 19, 2009

Dengarnya... Haida muncul semula



Haida Hafiz

MASIH ingat kepada penyanyi yang pernah menghasilkan album kompilasi bersama kumpulan Senario tidak lama dulu? Cik Normah dengar, penyanyi yang pernah bernaung di bawah payung Ambang Klasik dan Suria Records, Nurhaida, ingin membuat penampilan semula dalam industri muzik selepas beberapa tahun menghilangkan diri.

Jika tidak silap perkiraan Cik Normah, penyanyi ini menyepikan diri selepas mendirikan rumah tangga bersama seorang tenaga produksi televisyen, seterusnya melahirkan cahaya mata. Agaknya, selepas anak pun sudah besar, Nurhaida berasakan dirinya bolehlah kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Artis cantik ini juga menyemarakkan persada seni dengan dua album, Nurhaida dan Abadi. Lagu popularnya tentulah Zapin Usik Mengusik, yang dinyanyikan bersama kumpulan Senario.

Namun, untuk kemunculan terbaru, khabarnya Nurhaida yang kini ingin dikenali sebagai Haida Hafiz, mempertaruhkan lagu berentak balada ciptaan komposer Indonesia, Indra. Lagu diberi judul Melodi Hati itu ditulis sendiri liriknya oleh Haida dengan bantuan penulis lirik kreatif, Ahmad Fedtri Yahya.

Cik Normah mengucapkan selamat maju jaya kepada Haida dengan percubaan terbarunya ini. Harap-harap, kemunculan kali ini akan lebih kekal, walaupun ditakdirkan menemui jalan sukar. Faham-faham sajalah Haida, untuk sesebuah lagu dimainkan di radio, banyak cabaran perlu ditempuh.

Sekarang, ramai penyanyi yang merungut, stesen radio bagai memilih lagu tertentu dan penyanyi tertentu untuk disiarkan. Kadang kala, penyanyi yang tidak seberapa pun, disebabkan namanya agak terkenal, maka tersiarlah lagunya di stesen berkenaan. Tetapi, lagu yang bagus macam mana pun, kalau dinyanyikan artis yang dianggap tidak lagi popular, maka kena peram sajalah jawabnya lagu berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: