Thursday, November 12, 2009

Bekas angkasawan serang pesaing cinta dihukum


NOWAK mengaku bersalah di sebuah mahkamah di Orlando kelmarin.


ORLANDO - Seorang bekas angkasawan wanita Amerika Syarikat (AS) yang memandu sejauh 1,600 kilometer dari Houston ke sini untuk menyerang seorang pesaing cintanya kerana cemburu mengaku bersalah kelmarin di sebuah mahkamah dan dihukum berada dalam pengawasan polis selama setahun.

Bekas angkasawan itu, Lisa Nowak yang juga seorang kapten tentera laut AS, mengaku bersalah kerana melakukan pecah masuk kereta dan serangan ringan.

Nowak, 46, menemui saingan cintanya, Colleen Shipman di sebuah tempat letak kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando pada Februari 2007 selepas memandu kereta dari Houston.

Dia berang dan cemburu kerana Shipman bercinta dengan lelaki idamannya iaitu bekas juruterbang kapal angkasa, Bil Oefelein.

Nowak yang memakai rambut palsu dan baju hujan mengekori Shipman ke keretanya dan cuba masuk ke dalam kenderaan wanita itu sebelum menyerang mangsa dengan semburan lada.

Shipman berjaya melepaskan diri dalam kejadian itu manakala Nowak ditahan polis.

"Hampir tiga tahun peristiwa itu berlalu tetapi saya masih trauma akibat serangan ganas wanita itu (Nowak). Saya sedar pada hari kejadian bahawa dia mahu membunuh saya," kata Shipman kepada Hakim Marc L. Lubet selepas beliau mendengar rayuan Nowak.

Nowak yang sudah berkahwin dan memiliki tiga anak dipecat sebagai angkasawan selepas dia ditahan polis pada 2007.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: