Thursday, November 12, 2009

Kemboja enggan tangkap Thaksin


THAKSIN (kiri) menemui Hun Sen di rumahnya di Kamdal dekat Phnom Penh.


PHNOM PENH - Kemboja semalam menolak permintaan Bangkok supaya bekas perdana menteri Thailand yang digulingkan, Thaksin Shinawatra dihantar pulang ke negara asalnya.

Thaksin tiba di Phnom Penh kelmarin dengan menaiki pesawat peribadi sebagai tetamu Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen yang menawarkannya jawatan penasihat ekonomi.

Permohonan ekstradisi itu ditolak Kementerian Luar Kemboja sejurus selepas ia diserahkan oleh seorang diplomat Thai dengan alasan Phnom Penh tidak mengiktiraf dakwaan terhadap Thaksin yang digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006.

Thaksin dikehendaki di Thailand selepas dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh sebuah mahkamah di Bangkok kerana kesalahan rasuah.

Kementerian Luar Kemboja mengeluarkan kenyataan berbaur sinis bahawa Thaksin merupakan pemimpin yang dipilih secara demokrasi oleh majoriti rakyat Thai.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva memberitahu, beliau kesal dengan keputusan Kemboja tetapi berikrar untuk mengelakkan pertikaian berhubung isu itu daripada menjadi tidak terkawal.

"Kerajaan akan menangani perkara ini secara rasional. Kami tidak akan membenarkan sebarang keganasan, tindakan ketenteraan antara kedua-dua negara atau menutup sempadan kerana kami tidak mahu memburukkan keadaan," katanya.

Thaksin, seorang bilionair dan bekas taikun telekomunikasi yang dua kali menang dalam pilihan raya Thailand, kini hidup dalam buangan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di Phom Penh kelmarin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: