Monday, November 2, 2009

Astro Oasis realisasi impian


Izelan Basar (dua dari kiri) bersalaman dengan Ketua Pegawai Operasi PruBSN, Azim Mithani (tiga dari kanan) pada sidang akhbar program realiti sulung Astro Oasis, Segunung Harapan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SETIAP insan pasti mempunyai impian untuk direalisasikan namun tidak tahu dimana ia mahu dimulakan. Ada antara mereka yang datang daripada golongan yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai semangat yang tinggi untuk memajukan diri tanpa mengharapkan simpati daripada orang lain.

Justeru, Astro Oasis (saluran 106) bersama-sama Prudential BSN Takaful Bhd. (PruBSN) hadir dengan rancangan realiti TV baru, Segunung Harapan untuk membantu golongan sebegini dengan memberi ruang untuk mereka memajukan diri.

Berbeza dengan rancangan lain yang sering memberi bantuan kewangan dan perkakas rumah untuk menyenangkan kehidupan mereka, Segunung Harapan merupakan rancangan yang membuka jalan untuk memajukan diri dengan usaha sendiri.

Bersiaran pada setiap hari Jumaat pukul 9 malam di Astro Oasis bermula 8 November ini, 10 impian murni itu akan diceritakan dan direalisasikan bersama-sama dengan PruBSN.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, impian mereka itu dipilih berdasarkan keunikan kisah masing-masing dan ia mampu dijadikan tauladan kepada orang ramai.

"Episod pertama nanti mengisahkan sebuah keluarga Orang Asli di Cameron Highlands, Pahang yang menangkap dan menjual rama-rama di hutan sebagai punca pendapatan mereka.

"Hasil tangkapan mereka tidak banyak dan kurang menguntungkan. Mereka bercadang untuk menternak rama-rama namun tidak tahu bagaimana untuk melakukannya.

"Rancangan Segunung Harapan membantu menunjukkan jalan yang perlu mereka lalui untuk menunaikan impian dan PruBSN pula memberi nasihat daripada segi pelan-pelan masa hadapan terutamanya untuk kehidupan anak-anak mereka nanti.

"Kami percaya rancangan ini secara tidak langsung mampu menyedarkan masyarakat Islam yang menyanjungi sikap dan sifat terpuji, hidup berkomuniti secara harmoni, saling bantu-membantu tanpa mengira sesiapa pun," ujarnya ketika ditemui Hits pada sidang media memperkenalkan Segunung Harapan di Hotel JW Mariott, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Izelan, salah satu objektif utama penerbitan Segunung Harapan ialah untuk menggalakkan perasaan saling bantu-membantu khususnya mereka yang kurang bernasib baik.

Selain itu, rancangan ini juga katanya bagi menyedarkan orang ramai bahawa impian mereka boleh dicapai tanpa perlu mengharapkan simpati orang lain selain berbekalkan usaha dan semangat untuk memajukan diri sendiri.

Ketua Pegawai Operasi PruBSN, Azim Mithani pula berkata, program ini adalah cara untuk mereka berbakti kepada komuniti disamping menerangkan lebih lanjut tentang PruBSN itu sendiri.

"Ramai yang salah-faham konsep PruBSN adalah insurans tetapi kami sebenarnya membantu andai terjadi sesuatu yang tidak elok kelak.

"Kami menggunakan platform Segunung Harapan untuk menerangkan berkenaan PruBSN sebagai pemangkin perubahan dalam menghidupkan komuniti yang lebih harmoni dan membangun.

"Kami berharap sumbangan yang dihulurkan melalui program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti itu nanti," ujar Azim.

10 impian yang dipilih adalah berteraskan niat murni dan realistik yang menjurus kepada perpaduan serta kesejahteraan komuniti secara amnya.

Program realiti TV itu akan memaparkan tiga segmen utama iaitu Catatan Kehidupan, Menjejak Impian dan yang terakhir Menggenggam Impian.

Catatan Kehidupan akan menyingkap kehidupan individu yang telah dipilih oleh panel-panel program tersebut.

Menjejak Impian pula akan membawa para penonton menyelami impian individu itu serta usaha-usaha yang telah dijalankannya bagi memenuhi impian tersebut.

Seterusnya, Menggenggam Impian pula memaparkan impian yang telah terlaksana melalu program ini.

Pada masa sama Izelan menambah, permohonan untuk merealisasikan impian orang ramai itu masih terbuka dan kepada yang berminat boleh terus menghubungi pihak Astro Oasis dan panel yang terlibat bagi membuat pemilihan seterusnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: