Monday, November 2, 2009

Yasmin tidak mudah tergoda


Yasmin


GADIS Pan-Asia berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini sememangnya cukup sinonim dengan tagline ‘Wachaa..’ ketika mengendalikan sebuah rancangan hiburan popular di Astro, Muzik@Ria tidak lama dahulu.

Biarpun menempa nama seawal usianya 13 tahun di bidang lakonan, pemilik nama sebenar Yasmin Hani Richardson ini hakikatnya lebih condong di bidang pengacaraan serta peragaan sejak sedekad lalu.

Cukup sukar menemui kisah terbaru mengenainya di dada-dada akhbar mahupun majalah.

Malah, sejak mengakui kecundang di alam percintaan awal tahun lalu, dia yang lebih mesra disapa Hani itu lebih gemar memenuhi jadual hariannya dengan aktiviti seninya.

Sungguhpun begitu, tidaklah sesukar mana mendapatkan si jelita ini. Hanya dalam tempoh dua hari, dia menyatakan persetujuan untuk menjadi penghias muka depan Hits kali ini.

Memiliki kecantikan semulajadi persis kakaknya, pelakon filem Penyair Malam, Yasmin Suraya, dia sebenarnya tidak lepas lari daripada menjadi perhatian ramai peminat.

Akuinya, menjadi selebriti popular tidaklah semudah yang disangka. Sebab itu, seboleh mungkin dia cuba menghindar daripada perlakuan yang boleh menimbulkan umpatan serta pandangan sinis masyarakat terhadap dirinya.

Sejak kembali solo tanpa insan bergelar kekasih, dia bagaikan menjadi buruan. Namun, kata Hani, sehingga kini dia masih belum mempunyai calon yang serasi untuk pengganti buah hatinya.

Membuka kisah yang sebelum ini tersimpan rapi dalam kamus hidupnya, Hani turut mengakui dia sebenarnya tidak terlepas daripada godaan lelaki berharta yang menawarkan pelbagai kemewahan kepadanya.

Tidak mahu terhutang budi

“Ramai yang mencuba termasuk VIP. Tetapi lumrahlah lelaki kacau perempuan, asalkan jangan bersikap biadap dan berlaku kurang sopan pada saya sudahlah.

“Memang ada yang cuba menawarkan kemewahan kepada saya, tetapi saya buat tidak tahu sahaja.

“Saya sebenarnya lebih suka mencari harta atas usaha saya sendiri sebab saya tidak mahu terhutang budi dengan sesiapa. Saya tidak kisah berkawan dengan sesiapa, kaya atau tidak, sebab dari dulu saya memang suka berkawan.

“Tambahan pula, saya jenis yang suka berkawan, apabila orang ramah berbicara saya akan jadi seronok berbual sebab saya juga memang suka bercakap,” kata Hani sambil menguntum senyum.

Tidak mahu tergesa-gesa mencari pengganti, kata Hani, seboleh mungkin apa yang diharapkan biarlah jodohnya nanti dipertemukan dengan insan yang benar-benar memahami, bersikap slumber seperti dirinya, bijak, kelakar dan mempunyai kerjaya tetap.

Tidak mampu menelan rasa sunyi yang bertandang, Hani sememangnya bertuah kerana dikelilingi rakan-rakan yang begitu memahami situasi dirinya serta banyak memberi sokongan di kala dia memerlukannya.

Selain sibuk dengan

aktiviti kerja, dia kini lebih

banyak meluangkan masa untuk bersama keluarga serta memenuhi hobi bersama rakan-rakannya.

Terapi diri dengan yoga

Keletihan bekerja membuatkan gadis berusia 30 tahun ini mencari ruang untuk merehatkan diri.

Lantas apabila teman baiknya, penyanyi Atilia mengajaknya untuk beryoga, Hani tidak menunggu masa yang lama untuk membuat keputusan.

Ibarat terapi selepas lelah seharian bekerja, selain menyihatkan badan, aktiviti sedemikian banyak memberi ketenangan buat dirinya dari segi mental, fizikal dan rohani.

“Setiap kali tamat menghadiri kelas yoga, saya pasti menangis. Beryoga juga mengajar saya melepaskan segala kebencian dalam hati dan mengekalkan ketenangan dalam jiwa.

“Saya akui dulu saya seorang yang panas baran tetapi sekarang saya sudah mampu mengawal kemarahan dan sentiasa berasa tenang. Sebab itu saya rasa mengikuti kelas yoga adalah keputusan yang begitu tepat untuk diri saya,” katanya.

Idam talkshow seperti Oprah

Menyingkap perihal kerjaya, Hani kini merupakan hos bagi rancangan Pakar Kejelitaan yang bersiaran setiap Khamis di TV3 bersama Zizan Nin.

Malah, tidak lama lagi dia turut mengacarakan sebuah rancangan hiburan, Pop Sensasi yang bakal disiarkan di RTM.

Dalam lakonan pula, Hani bakal muncul dalam filem Dua Hati Satu Jiwa sebagai pasangan kembar kepada Fouziah Gous yang dijangka ditayangkan pada Januari tahun depan.

Ramadan lalu, Hani baru saja menamatkan penggambaran untuk sebuah filem seram, Suaka. Wataknya dalam filem tersebut ialah sebagai datin, bergandingan dengan pelakon Tony Eusoff.

Banyak menerima tawaran berlakon, mungkinkah bakal mengubah wadah kerjaya Hani yang pada peringkat awalnya berpaksi kepada bidang pengacaraan?

“Saya sebenarnya tiada masalah dengan lakonan sebab sehingga kini saya pun masih tetap mengacara. Cuma untuk mengacarakan rancangan hiburan seperti dulu mungkin sudah tidak sesuai dengan saya yang kini telah pun berusia 30 tahun.

“Insya-Allah, akan datang jika ada rancangan yang sesuai, saya akan kendalikan. Apa yang menjadi impian saya sekarang ialah nak punya talkshow sendiri seperti Oprah.

“Dari dulu lagi, Oprah menjadi idola saya dalam bidang pengacaraan. Saya pun memang suka dengan kerja membantu orang ramai dan mendekati masyarakat.

“Memang saya pasang impian dari dulu lagi untuk mengendalikan rancangan yang boleh menukar hidup orang ke arah kesenangan.

“Apabila melihat orang lain senang, jiwa saya akan berasa seronok dan puas,” katanya lagi yang suatu ketika dahulu pernah bercita-cita menjadi doktor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: