Monday, November 2, 2009

Rahsia Hana nyanyi lagu Mandarin


GAYANYA di awal penglibatannya dalam bidang seni sebagai penyanyi rakaman.


WALAUPUN namanya hanya sebentar singgah di arena seni suara tanah air, namun kemampuan dan kredibiliti Hana Yaccob sebagai penghibur tidak perlu dipertikaikan lagi.

Sebab itu tidak hairanlah, apabila album ketiganya terbitan NSR pada tahun 1992 tidak begitu menjadi di pasaran, Hana terus menyepikan dirinya dari dunia seni.

Kehilangan Hana,45, rupa-rupanya bukan merajuk atau melupakan terus dunia seni sebaliknya dia meneruskan kerjayanya sebagai penghibur yang mempunyai kebolehan tersendiri.

Istimewanya penghibur bertubuh montok ini berbanding penghibur lain kerana dia berkebolehan bukan sahaja menyanyikan lagu-lagu Melayu dan Inggeris malah dia juga mampu menyanyi serta menguasai bahasa Mandarin dengan baik.

Keistimewaan itulah yang memberi peluang kepada Hana sejak mula menceburi bidang seni pada 1982 sehingga hari ini untuk menghiburkan para pengunjung di kelab-kelab malam dengan majoritinya orang Cina untuk menikmati suara merdunya.

"Walaupun album ketiga saya Kau Antara Seribu terbitan NSR tidak begitu menjadi, tetapi alhamdulillah saya diterima di kelab-kelab malam di sekitar KL (Kuala Lumpur) dan PD (Port Dickson). Kebanyakan mereka mahu saya menyanyi lagu-lagu Mandarin.

"Bagi saya permintaan mereka itu tidaklah berat sangat kerana sejak awal penglibatan saya dalam bidang seni, saya memang menyanyikan lagu-lagu Mandarin di kelab malam dan lounge di PD dan Seremban," cerita Hana atau nama sebenarnya Rohana Yacob.

Tentu ramai yang tertanya-tanya mengapa Hana lebih cenderung menyanyikan lagu-lagu Mandarin di lounge dan kelab malam yang lebih ramai dikunjungi orang Cina.

Sebenarnya, sejak dulu hingga sekarang Hana cukup rapi menyimpan rahsia itu, bagaimanapun ketika perbualan kami petang itu hampir mencecah dua jam, Hana tanpa dipaksa bercerita rahsia di sebaliknya.

"Sejak kecil saya memang ingin menjadi penyanyi apalagi sering menyanyi di kem sebab ayah saya Pegawai Waran II Askar Melayu Diraja.

"Apabila tamat sekolah saya terus beritahu ayah dan emak yang saya mahu jadi penyanyi. Mereka berdua tidak izinkan dan saya berkurung dalam bilik selama dua hari tidak makan dan tidak minum.

"Akhirnya ayah dan emak mengalah dan mereka izinkan saya menyanyi. Dengan bantuan kawan ayah seorang taukeh berbangsa Cina dan mempunyai restoran dan lounge di PD saya mendapat peluang menyanyi di situ.

"Sejak itulah saya menyanyi di kelab malam dan lounge yang pengunjungnya kaum Cina. Saya tidak ada pilihan selain menyanyikan lagu-lagu Mandarin dan Inggeris. Sesekali saya akan selitkan juga satu dua lagu Melayu," kata Hana.

Kebolehannya menyanyikan lagu Mandarin bukan sahaja telah menarik perhatian komposer terkenal S.Atan hingga menawarkannya menjadi artis rakaman, malah Hana juga telah menarik hati seorang pengunjung tetap lounge berkenaan.

S.Atan yang mengunjungi kelab Golden House Nite Club pada tahun 1982 tertarik dengan kebolehan dan suara Hana dan menawarkannya menjadi artis rakaman.

Album Antara Dua Hati terbitan S. Atan yang diedarkan oleh Anca Records menjadi titik tolak penglibatan Hana dalam bidang nyanyian dan rakaman.

"Kelab malam Golden House bukan sahaja telah membuka ruang saya menjadi artis rakaman, malah di kelab malam itu jugalah saya telah ditemukan dengan suami saya.

"Saya tidak sangka seorang jejaka berbangsa Cina yang duduk di satu sudut sambil menikmati minuman di kelab tersebut rupa-rupanya memerhati saya dengan penuh minat.

"Apabila tauke kelab malam itu beritahu, barulah saya tahu. Ayah yang merupakan seorang pegawai tentera apabila tahu hubungan kami tidak mahu tunggu lama-lama dan menyuruh kami bernikah," cerita Hana yang mengasah bakatnya melalui Pentas Varia terbitan RTM.

Akhirnya Hana dan Mohamad Nor Ku Abdullah dinikahkan pada 30 Disember 1985 dan bersanding ada 4 Mei 1986.

Walaupun usia perkahwinan Hana dengan Mohamad Nor, seorang ahli perniagaan hampir mencecah 25 tahun dan tidak dikurniakan anak, namun pasangan ini tetap bahagia.

Kini, kata Hana, walaupun tidak menjadi penyanyi rakaman lagi namun dia tetap sibuk dengan undangan mengadakan persembahan dan kelab malam dan lounge.

Bagaimanapun sejak empat bulan lalu, Hana sedaya mungkin menolak tawaran menyanyi buat sementara waktu kerana mengikut suaminya ke luar negara atas urusan perniagaan.

"Sudah lima bulan saya bercuti daripada membuat persembahan kerana mengikut suami. Dulu masa menyanyi setiap hari berjogging dan berlatih menari. Tetapi...sekarang apabila berhenti sekejap badan pun naik, risau saya," kata Hana sambil ketawa kecil.

Menceritakan pengalamannya sepanjang menjadi penghibur yang menyanyikan lagu-lagu Mandarin, Hana tidak dapat melupakan peristiwa yang berlaku di Genting Highlands pada 1990.

"Selepas saya membuat persembahan, para pengunjung kelab malam di situ semuanya mengerumuni saya dan bertanyakan khabar dan asal dari mana.

"Saya menceritakan tentang latar belakang saya dan mereka terkejut apabila tahu saya orang Melayu kerana mereka menyangkakan saya bukan Melayu," cerita Hana lagi.

Bercakap mengenai dunia seninya pula, Hana memberitahu;

"Insya-Allah jika ada rezeki saya mahu kembali semula dalam bidang rakaman dan muncul dengan album baru tahun depan.

"Tetapi buat masa ini, saya belum tahu konsep album dan siapa penerbitnya. Saya kena survey dulu pasaran album bagaimana dan jika semuanya menyenangkan saya akan teruskan rancangan itu."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: