KANGAR - Dianggarkan seluas 900 hektar tanaman padi di Perlis tenggelam dan mengalami kerosakan melibatkan jumlah kerugian kira-kira RM1 juta ekoran banjir yang melanda negeri ini sejak Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Sabry Ahmad berkata, kerosakan tanaman padi itu menjejaskan pendapatan lebih 1,200 pesawah yang mengusahakan tanaman tersebut.
Katanya, kawasan padi tersebut yang terjejas iaitu 500 hektar di bawah peserta program Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan selebihnya diselia oleh kerajaan negeri.
"Kami ketika ini giat membuat bancian bagi mengenal pasti kos dan masalah banjir yang merosakkan tanaman berkenaan untuk dilaporkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Hujan kali ini memang banyak dan kita menyedari tentang permasalahan yang mengganggu pesawah setiap kali menjelang penghujung tahun yang cukup sinonim dengan banjir,' katanya kepada pemberita selepas melawat sawah petani di Guar Mengkuang dekat Arau, semalam.
Menurut Sabry, pihaknya akan menghantar laporan mengenai punca masalah tersebut kepada MKN secepat mungkin bagi mendapatkan bantuan atau peruntukan untuk menyelesaikan kegusaran pesawah itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: