Friday, May 1, 2009

Tomok 'musuh utama' Esther - Siapa jutawan muda OIAM3


BAIK Aweera, Esther mahupun Tomok, masing-masing punya peluang sama adil untuk muncul bergelar jutawan muda malam ini.



POPULARITI Tomok bukan jaminan untuk dia menjadi pilihan utama bergelar juara OIAM musim ke-3 malam ini.


MALAM ini seorang lagi jutawan muda bakal lahir. Tiga nama sudah diumumkan sebagai Top 3 peringkat akhir pertandingan realiti terbitan 8TV, One In A Million musim ketiga (OIAM 3). Mereka ialah Tomok, Esther dan Aweera.

Pilihan sudah berada di depan mata. Cuma hak mutlak untuk menentukan juara OIAM 3 yang bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1 juta ditentukan oleh pengundi menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) malam ini.

Kalau rakyat Malaysia mahukan sang juaranya berstatus artis rakaman dan menjalani pelbagai transformasi membanggakan sepanjang OIAM 3, Tomok ialah orang yang dicari-cari.

Sebaliknya jika pengundi punya selera lain dan mahukan muka baru melangkahkan kaki ke dunia seni, maka mereka boleh memilih Esther atau Aweera.

Gementar dan berdebar. Tidak dinafikan, itulah perasaan yang kini sedang menghantui tiga peserta akhir OIAM 3, selagi gelaran juara masih belum diketahui berpihak kepada siapa.

Realiti sama turut dirasai oleh Esther atau nama sebenarnya Elizabeth Applunius Chin. Dia tetap berasa kecut perut walaupun sudah berada dalam kelompok Top 3 sekali gus beradu nasib di peringkat akhir.

"Saya rasa berdebar untuk buat persembahan pada malam akhir OIAM 3. Namun saya tidak mahu terlalu memikirkan debaran ini kerana khuatir ia akan menjejaskan mutu persembahan saya kelak.

"Bercerita lebih lanjut tentang persembahan akhir, saya akan menyanyikan lagu baru ciptaan Sharon Paul dan Lew Mable, Mimpiku.

"Saya juga akan mendendangkan lagu Don't Stop The Music nyanyian Rihanna malam ini. Saya akan menyelitkan elemen salsa di pertengahan lagu ini bagi memberi kelainan ketara.

"Walaupun berdebar, saya tetap tidak sabar untuk menghiburkan penonton," katanya semasa sidang media memperkenalkan peserta Top 3 OIAM 3 di ibu negara Isnin lalu.


BERKONGSI rasa kebimbangan dengan Paul Moss.



SAMA ADA menang atau kalah, Esther dilihat punya masa depan sebagai penyanyi.


Seperkara menarik tentang Esther, dia tidak bersikap hipokrit atau berselindung tatkala menjawab soalan. Esther menganggap Tomok sebagai 'musuh' utamanya dalam peringkat akhir OIAM 3.

Wanita berusia 21 memberitahu, walaupun undian Tomok ada naik dan turunnya saban minggu, namun pemuda itu sudah ada peminat tersendiri yang sentiasa menyokong dari belakang.

"Perkembangan diri Tomok melalui persembahannya minggu demi minggu dalam OIAM 3, juga membanggakan banyak pihak.

"Saya sendiri terpikat dengan kehebatan Tomok sepanjang berada dalam program ini. Dia menunjukkan banyak peningkatan," jelas Esther yang turut menyukai personaliti menawan Tomok dan sikap rendah dirinya.

Dalam waktu sama, Esther juga sempat meluahkan kekaguman terhadap Tomok yang diibaratkan sentiasa berpijak di bumi nyata walaupun dia memegang status sebagai artis rakaman sebelum menyertai OIAM 3.

"Tomok tidak kedekut ilmu, bahkan dia sanggup berkongsi pengalaman jika saya bertanya lebih lanjut tentang dunia artis.

"Saya belajar banyak ilmu daripada Tomok yang melayan semua peserta OIAM 3 dengan baik," akui Esther lalu tertawa manja.

Sementara itu, Aweera atau Nasharul Aweera Norhissham tidak terkecuali berkongsi tentang perancangannya jika dia diumumkan sebagai juara OIAM 3 nanti.

"Saya berhajat ingin membantu keluarga, buka studio muzik dan buat album. Boleh dikatakan fokus saya secara menyeluruh adalah dengan memberi tumpuan terhadap bidang seni," terang anak muda berusia 18 tahun itu.

Ditanya tentang perasaannya dapat mengekalkan kedudukan hingga ke tahap Top 3, kata Aweera, dia sendiri tidak pernah menaruh harapan tinggi untuk bergelar tiga peserta akhir OIAM 3.

"Syukur sangat sebab ada ramai lagi orang di luar sana yang mahu tempat macam saya. Saya juga tidak menjangka dengan situasi ini.

"Mungkin ini namanya rezeki," ungkapnya yang sudah merencana masa depan untuk bergelar penyanyi yang mengalunkan lagu genre rock moden.

Sama juga dengan Esther, Aweera mempertaruhkan kepercayaan tinggi untuk memenangi OIAM 3, lalu mencipta nama sebagai anak seni.

"Saya memang hendak menang, tetapi saya tidaklah terlalu yakin. Takut lain yang diharap, lain pula jadinya," akui anak ketiga daripada empat beradik itu.

Aweera akan mendendangkan sebuah lagu baru, Ku Di Sini yang merupakan ciptaan Lin Li Zhen dan Pacha manakala sebuah lagu lpopular Faizal Tahir, Sampai Syurga.


AWEERA


Menampilkan transformasi paling ketara dalam OIAM 3, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail mengaku cukup gembira kerana keputusannya menyertai rancangan realiti itu nyata tidak sia-sia.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat sebab berada dalam kedudukan Top 3 setelah berhempas-pulas bersaing dengan ramai peserta sebelum ini.

"Tidak banyak yang ingin saya katakan, selain melakukan yang terbaik pada malam akhir nanti.

"Saya tidak sangka berada dalam senarai tiga peserta akhir kerana ada lagi peserta yang lebih bagus daripada saya.

"Untuk peringkat akhir, saya akan lebih tumpukan persembahan dengan pemuzik OIAM 3 yang dipimpin oleh Aubrey Suwito nanti.

"Saya sendiri sudah berasa selesa bekerja dengan Aubrey yang terkenal dengan kepakarannya dalam menyusun dan menghasilkan lagu.

"Senang sekali dapat bekerjasama dengan dia. Aubrey seorang individu yang mudah dan tidak terlalu memberi tekanan semasa bekerja," tambah pemuda berusia 25 tahun itu.

Tomok akan membawakan lagu baru yang bertajuk Rindu Terhenti ciptaan Aubrey dan Tinta. Sebuah lagu lagi, Hanya Kau Yang Mampu nyanyian Aizat (AF5) juga akan dinyanyikan oleh Tomok pada malam itu.

Dua atau tiga peserta?

Walaupun tiga nama sudah diketahui berada dalam kelompok Top 3, namun mereka tidak boleh terus berasa selesa dengan kedudukan masing-masing.

Ditempatkan sebagai Top 3 bukan menjadi laluan mudah kepada mereka untuk beradu nasib di pentas akhir OIAM 3.

Berdasarkan format musim kedua, hanya dua peserta layak ke peringkat akhir.

Lantaran itu, rakyat Malaysia diberikan hak mutlak untuk memilih sama ada mereka mahukan dua ataupun tiga peserta yang akan bertanding dalam peringkat akhir kelak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, undian menentukan jumlah finalis beraksi pada final OIAM 3 dilakukan menerusi laman sesawang www.8tv.com.my/oiam.

"Kalau undian peminat cenderung memilih tiga peserta bertanding di akhir, pengiraan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikira sejak Jumaat lalu akan menentukan siapa sebenarnya dua peserta yang layak pada malam ini.

"Jadi, penonton diingatkan meneruskan sokongan kepada peserta kegemaran dengan menghantar undian SMS.

"Undian orang ramai amat diperlukan untuk menyelamatkan peserta kegemaran masing-masing," katanya.

Pemenang Top 3 juga akan diberikan layanan bintang apabila mereka akan muncul di karpet merah Anugerah Industri Muzik 16 (AIM16) di PWTC malam esok sementara juaranya akan muncul sebagai penyampai anugerah pada malam itu.

Malam peringkat akhir OIAM 3 juga akan diserikan dengan kemunculan artis jemputan iaitu Bunkface dan juara OIAM 2, Ayu.

Untuk mengetahui siapa yang bakal membawa pulang hadiah lumayan sebanyak RM1 juta, jangan lupa untuk menyaksikan pertandingan akhir OIAM 3 yang dipancarkan secara langsung dari Stadium Malawati, Shah Alam pada pukul 8.30, malam ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: