Thursday, May 14, 2009

Tarian hebat Bollywood bakal tawan Malaysia


TOBY Gough (kiri), Vaibhavi Merchants dan Mark Brady pada majlis sidang media mengumumkan pementasan Merchants of Bollywood di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MELIBATKAN 1,200 pertukaran kostum, 2,500 bentuk barang kemas India serta dendangan 48 buah lagu-lagu hits Bollywood, Merchants of Bollywood bakal menjengah ke negara ini selepas lima tahun menempa nama di persada antarabangsa.

Akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 14 hingga 26 Julai ini, ia merupakan siri lawatan pertamanya di Asia yang sebelum ini pernah dipersembahkan buat pertama kalinya di Sydney, Eropah dan kemudiannya Afrika Selatan.

Untuk musim ini, Merchants of Bollywood membuka tirai persembahannya di Barcelona diikuti Milan, Rome, Madrid sebelum ke Kuala Lumpur.

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama Asia adalah bersempena dengan penganjuran Festival Kuala Lumpur 2009 selain populariti Bollywood yang dilihat punyai khalayak peminat yang ramai di kalangan rakyat negara ini.

Merchants of Bollywood akan diserikan dengan penglibatan 53 orang pelakon dan penari dalam menghidupkan aura Bollywood di atas pentas.

Menampilkan komposer terkenal A.R Rahman selaku penggubah muzik, sentuhannya menerusi Merchants of Bollywood mendapat pujian daripada audiens dan pengkritik di United Kingdom, Sepanyol, Itali, Jerman, Switzerland, Afrika Selatan dan Australia.

Bukan sahaja sentuhan A.R Rahman, Merchants of Bollywood itu sendiri telah mendapat kritikan yang baik di kalangan media asing.

Akhbar Times of London, contohnya, melihat persembahan Merchants of Bollywood sebagai bertenaga dan menampilkan pergerakan tangkas serta ceria di kalangan penarinya.

Akhbar itu turut menggambarkan pementasannya sebagai cukup hangat dan memberikan hiburan tanpa henti.

Merchants of Bollywood menceritakan kisah Ayesha Merchant, cucu perempuan Shantilal Merchant, seorang koreografer terkemuka Bollywood saat era kegemilangan filem Hindi.

Shantilal telah mengajar Ayesha tarian klasik India di kediaman mereka di Rajasthan namun Ayesya ingin menempa nama di Bollywood.

Ayesha kemudiannya melarikan diri dari rumah untuk ke Mumbai bagi mencipta nama di persada filem Bollywood.

Bagaimanapun, desakan emosi ekoran datuknya yang kurang sihat serta ingatan terhadap kekasih lamanya, ia mengumpan Ayesha untuk pulang .

Segala kisah tersebut diceritakan dalam penuh warna warni menerusi Merchants of Bollywood.

Pementasan Merchants of Bollywood diarahkan oleh teman baik kepada Kylie Minogue, Toby Gough.

Menurut Toby, idea menghasilkan Merchants of Bollywood tercetus ketika dia dan penerbit Merchants of Bollywood iaitu Mark Brady sedang menjamu selera di sebuah restoran India di New Zealand, lima tahun lalu.

"Restoran itu dinamakan Bollywood. Kami dikelilingi skrin besar yang mempamerkan klip video lagu-lagu hits Bollywood.

"Kami sukakan warna, emosi dan koreografi Bollywood yang penuh bertenaga serta menakjubkan. Daripada situlah idea menghasilkan muzikal Bollywood itu dilahirkan,'' katanya.

Jelas Toby, Merchants of Bollywood yang mendapat khidmat koreografer terkenal Vaibhavi Merchant akan dibarisi penari, penyanyi dan pelakon asalnya yang telah menjelajah seluruh negara sebelum ini.

Sementara itu, tiket-tiket berharga dari RM70 hingga RM500 untuk menyaksikan Merchants of Bollywood boleh didapati melalui www.ticketpro.com.my atau menghubungi talian hotline TICKETPRO 03-78807999.

Maklumat lanjut mengenai Merchants of Bollywood boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.mobkl.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: