KUALA LUMPUR: Seorang wanita bergelar Datin yang juga seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tertipu dengan lakonan ‘loyar buruk’ sekumpulan penjenayah mengaku sebagai mekanik apabila diminta membayar upah memeriksa tayar berjumlah RM1,000.
Suspek bermotosikal itu menahan kereta dipandu mangsa bagi memaklumkan tayar kenderaannya pancit dan meminta mangsa berhenti di bahu jalan untuk diperiksa, kononnya sebagai tanda prihatin.
Bagaimanapun, semua itu hanya helah kumpulan terbabit sebelum mereka meminta mangsa untuk membayar upah tidak masuk akal itu sebagai tanda terima kasih kerana menyelamatkan mangsa daripada terbabit kemalangan.
Untuk meyakinkan mangsa, suspek yang pandai mengatur kata itu turut menunjukkan objek kecil kononnya menusuk tayar kereta terbabit serta boleh menyebabkan tayar pecah jika tidak diperiksa segera.
|
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang Rabu lalu di Jalan Travers di sini, mangsa mendakwa kereta dipandunya tiba-tiba dihalang dua lelaki menunggang sebuah motosikal, dia yang risau kemudian berhenti di bahu jalan.
|
Menurut sumber, selepas melihat mangsa dalam keadaan kebingungan itu mula yakin dengan ‘loyar buruk’ itu suspek meminta wanita terbabit membayar upah perkhidmatan itu.
“Mangsa terkejut dengan upah diminta apabila mencecah ribuan ringgit dan dia yang tidak mempunyai wang memberi alasan akan melunaskan upah itu selepas mengeluarkan wang dari akaun banknya.
“Tapi, suspek seakan tidak mahu melepaskan mangsa begitu saja dan meminta nombor telefon mangsa sebelum membenarkan wanita terbabit pulang ke rumah,” katanya.
Katanya, selepas kejadian, mangsa mendakwa beberapa kali menerima panggilan telefon daripada lelaki sama yang ‘menolongnya’ bertanya mengenai upah serta meminta wanita berkenaan membayar RM1,000 secara tunai.
Kira-kira jam 6 petang hari sama, enam lelaki bermotosikal datang ke rumahnya di Jalan Ampang, dekat sini, untuk meminta wang berkenaan.
Ketika itu, empat daripada kumpulan lelaki itu masuk ke dalam banglo mangsa, manakala dua lagi menunggu di luar pagar.
“Mangsa yang mengetahui tujuan enam lelaki itu datang ke rumahnya menyuruh pembantu rumahnya membayar RM1,000, wang upah membantunya membaiki kenderaan kepada mereka,” katanya.
Namun, kumpulan lelaki itu bersikap tamak apabila menaikkan jumlah upah menjadi RM1,296.
“Mangsa yang tidak mahu perkara buruk berlaku hanya membayar jumlah wang seperti diminta kumpulan lelaki itu sebelum semua mereka beredar,” katanya.
Khuatir dengan keselamatan keluarga dan anaknya, dia membuat laporan polis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: