Friday, May 8, 2009

Reshmonu bangga album berbahasa Melayu

Sebelum ini penyanyi dan penulis lirik, Reshmonu, 33, yang popular dengan gaya rambut 'corn rolls' hanya menghasilkan album berbahasa Inggeris. Bagaimanapun taruhannya melalui album Harapan yang menggunakan Bahasa Melayu memberikannya kejayaan menerusi lagu ‘Oh Anok-Anok’ di Anugerah Industri Muzik baru-baru ini.

“Saya rasakan tahun ini merupakan tahun yang paling bertuah buat saya kerana berjaya dengan penghasilan album Bahasa Melayu pertama saya. Perasaan saya sungguh gembira. Kemenangan ini memberikan saya satu kekuatan untuk menghasilkan lebih banyak lagu-lagu begini pada masa akan datang. Sukar untuk saya menggambarkan perasaan melalui kata-kata. Saya rasa sangat berbangga bila lagu-lagu Melayu saya diterima oleh masyarakat Malaysia seiring dengan slogan Satu Malaysia yang perlu kita selami bersama,” ujar Reshmonu ketika ditemui di PWTC sesudah majlis.

Menurut Reshmonu, dia sekarang sibuk dengan syarikat perniagaan R talent, Shugar Studios dan Shpice Pictures yang baru dbukanya.

“Banyak yang saya lakukan untuk memastikan kejayaan dalam penghasilan album dan juga perniagaan. Sekarang banyak lagu-lagu saya dihasilkan sendiri sebab saya dah membuka studio muzik dan agensi bakat. Tujuan saya membuka syarikat ini pun untuk membantu penyanyi-penyanyi di luar sana sebab tak semua penyanyi kita yang ada bajet besar untuk menghasilkan album. Macam sekarang pasaran agak kurang memandangkan penjualan album agak perlahan jadi sebagai jalan penyelesaiannya banyak penyanyi kita lebih suka menghasilkan ‘single’.

“Peluang seperti ini juga memberikan kita kelebihan untuk meningkatkan martabat seni muzik tanah air. Saya ingin melahirkan lebih ramai pemuzik yang berkebolehan dan memberikan kelainan dalam penghasilan lagu,” ujarnya anak kelahiran Melaka ini.

Pesan Reshmonu kepada peminat, jangan lupa untuk mendapatkan album terbarunya yang bertajuk Harapan yang mempertaruhkan irama campuran Samba, Latin dan Afro- Latin. Album ini turut mendapat sentuhan dan kerjasama beberapa artis tempatan seperti Noryn Aziz, Hunny Madu, Caprice, Adeep Fabulous Cats dan juga Mawar Berduri dari kumpulan Ahli Fikir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: