Wednesday, May 20, 2009

Perompak tak berputih mata, RM8.24j lesap


KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Sekumpulan tiga lelaki yang melarikan van keselamatan di Taman Segar, Cheras kelmarin menghilangkan diri bersama lapan karung berisi wang RM8.24 juta dari kenderaan tersebut.

Sumber memberitahu, polis yang menjalan siasatan mendapati van tersebut semasa dirampas membawa 12 karung berisi wang tunai dipercayai lebih RM10 juta.

"Ketiga-tiga lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol telah merampas van tersebut daripada dua pengawal keselamatan yang menunggu di dalam van," kata sumber itu.

Menurut beliau, van yang dilarikan hanya mampu bergerak sejauh kira-kira 200 meter dari tempat ia dirampas di hadapan sebuah pusat beli-belah di Taman Segar.

"Polis yang menemui semula van itu mendapati kenderaan itu berkunci dan tiga perompak tersebut telah tiada," kata beliau.

Turut hilang dari van tersebut ialah lapan karung berisi wang RM8.24 juta manakala empat karung berisi wang lebih RM2 juta tidak diusik.

Kata sumber itu, polis percaya kumpulan perompak bertopeng itu mahir dan berpengetahuan mengenai ciri-ciri keselamatan van berkenaan sehingga mereka dapat keluar dari van itu yang berhenti secara tiba-tiba.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan sebanyak RM8.24 juta wang telah dilarikan oleh tiga perompak itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: