Wednesday, May 13, 2009

Pelakon baru digam

SELEPAS sekian lama tidak berhubung dengan kawan lama Papa, Miss Taira, baru-baru ini wanita jelita persis Katie Holmes itu menghubungi Papa.

Biasalah, kalau dah lama tak berborak tu ada sahaja cerita yang dibualkan. Baik dari kisah peribadi, keluarga sehinggalah ke cerita panas dalam dunia hiburan.

Bukan apa. Miss Taira ni memang pantas mendapat cerita panas. Almaklumlah, kawan Papa yang seorang ni menjalankan perniagaan yang ada bersangkut-paut dengan dunia fesyen dan hiburan tanah air.

Tiba-tiba Miss Taira membuka cerita mengenai seorang pelakon baru yang telah digam oleh sebuah syarikat penerbitan terkemuka gara-gara sikapnya sendiri.

"You nak tahu tak Papa. Pelakon ni namanya bukanlah segah dan hebat macam pelakon baru yang lain. Agaknyalah kan. Kalau sebut nama dia, mungkin ada orang yang berkerut dahi.

"Kisah ini terjadi apabila pelakon baru ini dipilih oleh syarikat produk kecantikan terkemuka antarabangsa untuk memberikan testimonial terhadap produk berkenaan. Syarikat itu siap memberikan semua produk keluaran terbaru kepadanya.

"Jadi, apabila dah diberikan semua itu, pelakon ini bersetuju untuk menjalani satu sesi fotografi bersama sebuah majalah yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat produk itu.

"Bila hari fotografi itu tiba, pelakon ini buat hal. Dia tak datang. Puas wakil majalah menghubunginya tapi dia matikan telefon. Sehingga ke hari ini dia tidak langsung meminta maaf dan memberikan sebab mengapa dia berbuat demikian.

"Akhirnya, syarikat penerbitan itu menggam pelakon itu daripada muncul dalam mana-mana majalah terbitan syarikatnya," cerita Miss Taira panjang lebar.

Hai, macam-macam lah perangai pelakon sekarang ni. Macam manalah nak bertahan lama kalau perangai tak senonoh!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: