AMPANG - Penduduk Kampung Pandan Dalam atau dikenali 'Mini Jakarta' di sini hairan kerana kawasan itu yang didiami ramai warga Indonesia sejak dua dekad lalu seakan-akan terlepas daripada pemantauan pihak berkuasa.
Selain menjadikan kampung itu seakan-akan negara mereka sendiri, rata-rata warga asing itu juga semakin banyak menjalankan perniagaan tanpa sebarang gangguan.
Tidak cukup dengan itu, penempatan yang sama juga dikatakan menjadi tempat transit pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia.
Seorang pemimpin masyarakat tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah berkata, walaupun kebanyakan warga asing terbabit mempunyai permit kerja tetapi ada sesetengah mereka didakwa menjadikan rumah mereka sebagai tempat 'persinggahan' PATI yang baru datang ke negara ini.
"Hairannya, walaupun serbuan demi serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa tetapi keadaan kawasan ini tetap sama malah gerai-gerai makanan mereka mengakibatkan kawasan sekitar tercemar," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.
Menurut Abdullah, masalah tersebut pernah dibangkitkan dalam beberapa akhbar namun tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berwajib.
Selain itu, ujarnya, pembinaan beberapa 'rumah segera' di kawasan itu turut mencacatkan pemandangan selain terdedah kepada risiko kebakaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: