SETELAH hampir lima bulan berpisah, pelakon popular Norman Hakim, 32, mengakui masih lagi berhubung dengan bekas isterinya, Abby Abadi serta melunaskan tanggungjawab sebagai seorang bapa.
Biarpun telah terputus hubungan, tanggungjawab baginya perlu diutamakan bukan sahaja dari segi kebajikan malah kasih sayang terhadap tiga anaknya yang masih kecil.
"Alhamdulillah, hubungan saya dengan bekas isteri baik dan dia begitu memahami situasi sekarang. Kami juga sering berinteraksi mengenai perkembangan anak-anak.
"Setiap hari saya menghantar mereka (anak) ke sekolah. Kalau bekas isteri saya keluar daerah, saya akan balik dan tidur di rumah menemani anak-anak.
"Lagipun hubungan saya dengan bekas mertua masih baik, dan takkanlah disebabkan penceraian kami maka hubungan saya dan bekas mertua turut terputus," katanya.
Norman berkata demikian ketika ditemui selepas selesai sesi perbicaraan kes khalwatnya bersama pelakon muda, Memey Suhaiza Suhaimi, 20, di Mahkamah Syariah Gombak Timur, AU2, Keramat, baru-baru ini.
Pasangan pelakon yang mendirikan perkahwinan pada 8 Januari 2002 berpisah buat kali kedua pada 18 Disember tahun lalu. Norman dan Abby pernah bercerai pada 5 Mei 2006 tetapi rujuk semula pada 11 Mei tahun yang sama.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd. Danish Hakim, 6, Marisa Dania Hakim, 4, dan Maria Danisha Hakim, lapan bulan.
Enggan mengulas lanjut tentang perkembangan kes khalwatnya, Norman bagaimanapun menyerahkan kes tersebut kepada kebijaksanaan peguam belanya dan pihak mahkamah untuk menentukan keputusan.
"Ini kali pertama saya berdepan dengan perbicaraan jadi ia merupakan satu pengalaman baru dan hari demi hari saya semakin memahami tentang prosedur-prosedur yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam dan mahkamah.
"Inilah kehidupan saya. Menempuhi sesuatu yang sukar hari ini bukan bererti akan berakhirnya kehidupan saya pada hari esok.
"Nawaitu saya, apabila selesai kes ini dengan baik maka saya akan jemput kenalan-kenalan saya untuk majlis doa selamat," kata pelakon Gerak Khas itu.
Bercerita tentang kesan tersebarnya kisah tangkapan khalwatnya bersama Memey pada 30 Oktober tahun lalu, menurut Norman, apa yang berlaku memberi implikasi besar dalam hidupnya.
Bagaimanapun, akui Norman, kisah tersebut sehingga hari ini tidak mengganggu aktiviti dan kerjayanya sebagai pelakon.
"Perbicaraan tidak mengganggu kerjaya lakonan dan saya yakin pada rezeki yang Allah tentukan. Saya ada tanggungjawab terhadap anak-anak dan syukur Allah masih ada belas ihsan terhadap saya," katanya.
Sementara itu, Memey ketika diminta mengulas tentang kes tersebut bagaimanapun enggan membuat sebarang kenyataan.
"Minta maaf saya tidak boleh komen apa-apa tentang kes mahkamah sebab tidak mahu nanti mengeluarkan kenyataan bercanggah.
"Bukan saya tidak mahu beri kerjasama tetapi apa yang berlaku ini adalah pertama kali dalam hidup. Pada awalnya memang saya sedikit khuatir tetapi saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan," kata Memey sebelum bergegas meninggalkan perkarangan mahkamah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: